Jangan muat naik gambar jalan di kompleks beli belah ketika BDR, tegas KSU KDN

Jangan muat naik gambar jalan di kompleks beli belah ketika BDR, tegas KSU KDN

Awang Alik Jeman menegaskan tindakan akan diambil terhadap kakitangan yang menyalahgunakan kemudahan BDR.

Kabinet bersetuju melaksanakan dasar BDR mulai 15 April, iaitu Rabu ini untuk penjawat awat mengikut kriteria tertentu.
PUTRAJAYA:
Penjawat awam diingatkan supaya tidak memuat naik gambar atau kandungan di media sosial yang boleh menimbulkan persepsi negatif sepanjang tempoh bekerja dari rumah (BDR) bermula Rabu ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Awang Alik Jeman berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai yang didapati menyalahgunakan kemudahan BDR sehingga menjejaskan imej perkhidmatan awam.

Beliau berkata, sepanjang tempoh BDR, penjawat awam perlu mengelakkan perkongsian di media sosial yang boleh memberi gambaran mereka tidak menjalankan tugas.

“Semasa BDR, jangan muat naik gambar atau hantaran di media sosial yang boleh disifatkan seolah-olah kita tidak menjalankan tugas. Contohnya, memuat naik gambar bermain badminton, berjalan di kompleks beli-belah dan sebagainya.

“Saya ingin ingatkan lebih awal, perkara seperti ini perlu dielakkan. Jika ia berlaku, tindakan tetap akan diambil tanpa pengecualian. Jangan ambil ringan perkara yang boleh memudaratkan diri sendiri,” katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN.

Awang Alik turut menegaskan bahawa BDR bukan alasan untuk penjawat awam gagal mencapai sasaran kerja yang ditetapkan. Sebaliknya, setiap pegawai perlu memastikan produktiviti dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas walaupun bekerja dari rumah.

Beliau berkata, beberapa agensi di bawah KDN tidak terbabit dengan pelaksanaan BDR. Antaranya ialah Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan RELA.

Sebelum ini, Kabinet bersetuju melaksanakan dasar BDR mulai 15 April, iaitu Rabu ini untuk penjawat awat mengikut kriteria tertentu.

Langkah itu bagi menjimatkan penggunaan bahan bakar kenderaan ketika krisis di Asia Barat yang meningkatkan harga petrol dan diesel serta menjejaskan bekalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.