KDN kesan unsur komunisme dalam 2 buku termasuk berkait Shamsiah Fakeh

KDN kesan unsur komunisme dalam 2 buku termasuk berkait Shamsiah Fakeh

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata siasatan turut mendapati ada kecenderungan menormalisasi dan mengagung-agungkan fahaman itu.

Kerajaan mengambil tindakan terhadap buku Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen ke-10 dan Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah.
PETALING JAYA:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan ada kecenderungan bahan berunsur ideologi komunisme mula beredar secara lebih terbuka di pasaran, sekali gus mendorong tindakan penguatkuasaan terhadap dua penerbitan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Dua buku terbabit ialah Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen ke-10, yang diterbitkan di bawah imprin Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) dan Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah.

KDN berkata pemantauan serta maklumat risikan mendapati kandungan dalam beberapa penerbitan bukan sahaja mengandungi unsur komunisme, malah menunjukkan kecenderungan menormalisasi dan mengagung-agungkan fahaman itu yang jelas bertentangan kepentingan keselamatan negara.

“KDN menolak dakwaan bahawa tindakan penguatkuasaan bertujuan menyekat kebebasan intelektual atau wacana ilmiah.

“Sebaliknya, tindakan ini adalah langkah pencegahan yang perlu bagi melindungi masyarakat daripada penyebaran fahaman yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan.

Dua buku itu diterbitkan oleh GerakBudaya yang dalam kenyataan semalam akan mencabar tindakan oleh KDN.

Penerbit itu juga mendakwa tindakan itu sebagai usaha menyempitkan ruang wacana dan menghalang perkembangan budaya ilmu.

Mengulas lanjut, KDN menjelaskan tindakan penguatkuasaan tidak tertakluk kepada tempoh sesuatu bahan diterbitkan, sebaliknya berdasarkan penilaian semasa terhadap kandungan serta implikasinya.

“Tindakan diambil secara sah, teliti dan berasaskan peruntukan undang-undang serta kepakaran berkaitan,” katanya yang turut menjelaskan siasatan kini dijalankan terhadap kedua-dua penerbitan itu termasuk melibatkan pihak penerbit seperti SIRD.

“Ia bagi memastikan pematuhan kepada keperluan perundangan termasuk status pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.”

KDN turut memberi amaran tidak akan berkompromi terhadap sebarang usaha menyebar atau menghidupkan semula ideologi yang bertentangan dengan undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.