
Anwar berkata, perkara itu dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong, yang kemudian meminta kerajaan memastikan semua harus terikat dengan keputusan Majlis Raja-Raja, iaitu kalimah “Allah” tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam di Semenanjung, namun kelonggaran diberikan bagi Sabah dan Sarawak.
Beliau menjawab soalan mengenai isu itu di Dewan Rakyat pagi ini.
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin adalah antara yang mempersoalkan sama ada kerajaan berunding dengan raja-raja sebelum memutuskan untuk menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.
“Isu tidak rujuk (Majlis Raja-Raja dan majlis agama negeri) langsung tidak timbul,” kata Anwar.
Selaras dengan keputusan raja-raja, katanya, kalimah “Allah” boleh digunakan selagi penafian “Hanya untuk penganut Kristian sahaja” dicetak pada kulit buku atau bahan terbabit.
Katanya lagi, Jabatan Peguam Negara mendapati alasan rayuan tidak kukuh kerana keputusan mahkamah rendah selaras dengan pendirian raja-raja Melayu.
Terdahulu, Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) bertanya sama ada kerajaan telah berunding dengan raja-raja Melayu dan majlis agama negeri sebelum “senyap-senyap” memutuskan untuk menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021.
Pada Mac 2021, Mahkamah Tinggi dalam satu keputusan penting menyatakan bahawa wanita dari Sarawak, Jill Ireland, boleh menggunakan kalimah “Allah” bagi tujuan pendidikan agama dalam bahasa Melayu dan bahasa ibundanya, bahasa Melanau.
Hakim Mahkamah Tinggi Nor Bee Ariffin kemudiannya berkata, arahan Kementerian Dalam Negeri pada 5 Dis 1986 melarang penggunaan perkataan “Allah”, “Baitullah”, “solat” dan “Kaabah” oleh orang bukan Islam tidak sah di sisi undang-undang.
Minggu lepas, kerajaan memutuskan untuk menghentikan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Pada 17 Mei, Anwar berkata, Jemaah Menteri akan mengemukakan syor berhubung isu kalimah “Allah” kepada Majlis Raja-Raja.
Katanya, Jemaah Menteri telah mendapat lampu hijau daripada Agong untuk mengemukakan syornya berkaitan arahan kerajaan mengenai penggunaan kalimah “Allah”, antara lainnya.
Hari ini, Anwar berkata syor itu akan dibentangkan kepada raja-raja Melayu pada Julai.