Minta rasuah RM100, hukuman penjara anggota polis kekal

Minta rasuah RM100, hukuman penjara anggota polis kekal

Norul Ezwan Nasir sebelum ini dihukum penjara 10 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen.

Mahkamah Tinggi menolak rayuan Norul Ezwan Nasir atas sabitan kesalahan meminta rasuah RM100 untuk menyerahkan rim tayar motosikal yang dirampas pada 2018. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 10 bulan serta denda RM10,000 terhadap seorang anggota polis kerana meminta serta menerima rasuah RM100 daripada seorang lelaki berhubung rim tayar motosikal.

Hakim Ahmad Bache membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Norul Ezwan Nasir, 38, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen pada 19 Mei 2022.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Syaheera Rosli, yang mewakili Norul Ezwan, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dan sabitan terhadap anak guamnya sementara menunggu rayuan didengar serta diputuskan di Mahkamah Rayuan.

Dalam penghakimannya, Ahmad berkata, keterangan perayu di peringkat pembelaan adalah penafian semata-mata dan tidak disokong oleh mana-mana dokumen.

“Tiada sebab untuk mahkamah ini mengganggu sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh hakim Mahkamah Sesyen. Oleh itu, rayuan perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman ditolak,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen pada 2021 melepas dan membebaskan Norul Ezwan daripada kedua-dua pertuduhan selepas memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pendakwaan kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi yang memerintahkan anggota polis itu membela diri.

Pada 19 Mei 2022, Norul Ezwan dihukum penjara 10 tahun dan denda RM10,000 selepas Mahkamah Sesyen mendapati dia bersalah.

Tertuduh kemudian memfailkan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman itu.

Dia didakwa meminta dan menerima RM100 daripada Ahmad Syafiq Ahmad Sahrul sebagai dorongan untuk menyerahkan semula rim tayar yang dirampas kerana disyaki barang curi di Tingkat 6, Bahagian Siasatan Jenayah, Balai Polis Travers pada 5 Okt 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.