
Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata siasatan dijalankan selepas polis menerima laporan daripada sebuah klinik kesihatan di Gerik semalam, berkaitan seorang kanak-kanak perempuan mengalami sesak nafas, pening kepala, dan loya selepas termakan biskut dibuat oleh bapanya.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa termakan biskut disyaki dicampur dengan ganja yang menyebabkan dia mengalami simptom.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Gerik dan dirujuk ke Hospital Taiping untuk pemeriksaan dan rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Yusri, saringan ujian awal air kencing mendapat suspek positif tetrahydrocannabinol.
Suspek direman mulai hari ini sehingga 3 Jun bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.
Polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini.
“Polis menasihatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati dan mengambil iktibar agar kejadian ini tidak berulang,” kata Yusri.