Kementerian siasat pelajar pelatih tak dibayar elaun, kata Anwar

Kementerian siasat pelajar pelatih tak dibayar elaun, kata Anwar

Perdana menteri berkata, beliau menunggu laporan Kementerian Sumber Manusia berhubung perkara itu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan juga akan meneliti sebarang cadangan bagi mewujudkan sebuah akta khas untuk melindungi kebajikan pelajar pelatih. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau sedang menunggu laporan berkaitan dakwaan terdapat pelajar pelatih yang tidak dibayar elaun ketika menjalani tempoh latihan industri.

Beliau berkata laporan mengenai perkara itu pada ketika ini sedang diteliti Kementerian Sumber Manusia (KSM).

“(Laporan itu) sudah dibawa. KSM sudah ambil. Sekarang ini sudah diangkat dan saya tunggu laporan,” katanya.

Anwar menjawab pertanyaan wartawan mengenai dakwaan terdapat pelajar pelatih yang menjalani latihan industri di kementerian, agensi atau jabatan kerajaan serta syarikat swasta, tidak dibayar elaun.

Beliau turut memaklumkan akan meneliti sebarang cadangan bagi mewujudkan sebuah akta khas untuk melindungi kebajikan pelajar pelatih.

“Insya-Allah bila kertas (cadangan) itu sampai kepada Kementerian Kewangan dan kepada saya, saya akan ambil tindakan yang wajar,” katanya selepas merasmikan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.