Liwat rakan sel, 3 banduan dipenjara, sebatan

Liwat rakan sel, 3 banduan dipenjara, sebatan

Kesalahan itu dilakukan sebuah bilik di Pusat Pemulihan Akhlak Machang, Februari lalu.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara lima tahun dan sebatan dijalankan bermula hari ini memandangkan kesalahan dilakukan adalah serius.
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen Kota Bharu menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan terhadap tiga banduan atas kesalahan meliwat rakan sepenjara dalam sebuah bilik di Pusat Pemulihan Akhlak Machang, Februari lalu.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Tarmizi Mohd Sandy, 25; Wan Zulharie Wan Mustapha, 32, dan Mohamad Ariff Emeran, 32, selepas masing-masing mengaku bersalah zebaik pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan yang dibuat secara berasingan, ketiga-tiga tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii dengan mangsa sama berusia 26 tahun, lapor Berita Harian.

Kesalahan itu dilakukan kesemua tertuduh di sebuah bilik di Blok Amanah Pusat Pemulihan Akhlak Machang.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry dan kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan hukuman dijalankan bermula hari ini memandangkan kesalahan dilakukan adalah serius.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.