
Dalam penggulungannya selepas membahaskan laporan Peguam Negara itu, Azalina mempertikai kenapa pembangkang “takut” laporan itu dibentangkan di Dewan Rakyat.
“Ia adalah laporan dari 2021. Jika ada laporan dari 2020, kita boleh membincangkannya semasa sidang parlimen. Sekiranya darurat tidak diisytiharkan, kita boleh membahaskannya ketika itu.
“Kita membincangkan perkara ini pada 2023 kerana yang menutup pintu ‘rumah demokrasi’ itu tidak lain dan tidak bukan adalah diri mereka sendiri (PN),” katanya.
Darurat diisytiharkan pada 12 Januari 2021 akibat pandemik Covid-19 yang berlanjutan sehingga 1 Ogos tahun sama. Parlimen juga digantung pada tempoh itu.
Terdahulu, pihak pembangkang membantah perbahasan mengenai laporan LKAN 2021 kerana mendakwa ia melanggar peraturan tetap parlimen dan tidak mengikut perlembagaan.
Azalina berkata, bertentangan dengan dakwaan pembangkang, perbahasan laporan audit itu adalah sah, kerana semua Ahli Parlimen boleh membahaskan di Dewan Rakyat.
Beliau berkata perbahasan LKAN adalah langkah pertama kerajaan untuk membenarkan semakan dan imbangan lebih baik, dan lebih banyak laporan tahunan akan dibahaskan pada masa hadapan.
Katanya, hasil perbahasan itu akan dibangkitkan dalam perbincangan pada mesyuarat jawatankuasa kira-kira awam (PAC) nanti.
Azalina berkata pembangkang seharusnya menyertai perbahasan kerana mereka boleh mempertahankan diri dan mengelakkan fitnah dilemparkan ke atas mereka ketika mereka memerintah akibat daripada laporan itu.
“Keengganan pembangkang untuk berdebat adalah sesuatu yang saya tidak faham dan tidak boleh terima. Ini isu yang ditanya orang ramai, orang yang sama yang mengundi kami.
“Kami tidak boleh menafikan suara rakyat. Ia bukan wang ibu bapa kita, tetapi pembayar cukai,” katanya.