
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua inspektor dan seorang koperal polis dalam siasatan ke atas dakwaan menerima rasuah, menyusuli penahanan seorang ketua polis daerah (OCPD) di Pahang baru-baru ini.
SPRM berkata mereka ditahan selepas memberi keterangan di pejabat badan anti-rasuah itu petang tadi.
Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim, mengesahkan tangkapan tetapi enggan mengulas lanjut, menurut laporan Bernama.
SPRM pada Selasa menahan seorang OCPD di Pahang yang disiasat atas dakwaan menerima rasuah bagi ‘melindungi’ pusat hiburan dan pusat urut.
Pegawai polis itu ditahan kerana disyaki menerima rasuah lebih RM1 juta antara 2017 dan 2022.
Semalam, Mahkamah Majistret Kuantan menolak permohonan reman SPRM.
Pegawai polis itu dibebaskan dengan bon pada sekitar 4 petang semalam, namun dikehendaki melapor diri kepada cawangan SPRM sebulan sekali sehingga siasatan ke atas kes bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM itu selesai.