Suspek rasuah mati ketika dalam tahanan SPRM

Suspek rasuah mati ketika dalam tahanan SPRM

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata suspek itu meninggal dunia di hospital selepas jatuh sakit pada pagi tadi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilaporkan mengesahkan kematian suspek itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang suspek yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan meninggal dunia ketika dalam tahanan agensi tersebut.

Malaysiakini yang memetik Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebagai berkata lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu meninggal dunia ketika dirawat di hospital akibat sakit.

Suspek dilaporkan ditahan oleh SPRM semalam dan jatuh sakit pada pagi ini ketika berada di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya.

“Lelaki ini antara tiga suspek yang ditahan pada malam semalam berkaitan kes pengubahan wang haram yang ada kaitan dengan aktiviti perlombongan mineral tanpa lesen di Pahang.

“Pada pagi ini pegawai kami mendapati lelaki ini tidak sihat dan segera membawanya ke hospital. Lelaki ini meninggal dunia ketika dirawat di hospital,” katanya.

Azam juga memberi jaminan SPRM akan bekerjasama penuh dengan polis yang menyiasat kejadian itu.

Katanya, pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan kes itu juga akan memberikan keterangan kepada polis.

Terdahulu hari ini, SPRM dilaporkan menahan tiga individu yang disyaki terbabit dalam aktiviti perlombongan haram di Raub, Pahang dan pengubahan wang haram berjumlah RM1.8 juta.

Tiga suspek yang ditahan termasuklah pengendali mesin perlombongan dan seorang pegawai awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.