P Pinang buka pusat gelandangan berteduh

P Pinang buka pusat gelandangan berteduh

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang menjadi sebahagian pelan induk masyarakat menua dirangka kerajaan negeri.

Chow Kon Yeow (kanan) dan Exco Kebajikan Phee Boon Poh, pada majlis pelancaran Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang.
GEORGE TOWN:
Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang kini dilengkapi 88 katil sumbangan kerajaan negeri yang disampaikan semalam untuk memberi keselesaan kepada penghuninya.

Disediakan dengan kos RM4.4 juta, kemudahan berteduh untuk golongan gelandangan yang ditempatkan selama dua minggu. Namun dalam kes tertentu dipertimbang untuk tempoh penuh seperti ditetapkan pegawai kes.

Kemudahan tiga tingkat yang terletak di penjuru Magazine Road Ghaut dan Jalan CY Choy merupakan lot kedai dibaikpulih milik majlis perbandaran.

Rekabentuk inovatifnya memanfaatkan 100% penggunaan tenaga solar, demi memastikan kemudahan berkenaan menjana tenaga sepanjang tahun.

Tingkat bawah pusat itu menyediakan ruang kemudahan termasuk klinik kesihatan percuma, kedai kek, dan stesen bekalan air sepanjang laluan pejalan kaki.

Sebagai tambahan, bank makanan juga akan disediakan bagi membekal makanan panas dan penerimaan barangan derma, sekali gus menyokong keperluan golongan memerlukan di kawasan itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow, berkata walaupun inisiatif dilaksanakan tidak menyelesaikan masalah gelandangan, namun ia merupakan langkah pertama penambahbaikan.

“Pusat berkenaan merupakan sebahagian pelan induk masyarakat menua yang dibentuk. Gelandangan juga adalah sebahagian masyarakat Pulau Pinang dan kami menerima dan mahu mengangkat mereka daripada kemelaratan,” katanya ketika merasmikan pusat terbabit.

Exco kebajikan, Phee Boon Poh, yang mengawal selia projek itu sejak awal juga menyatakan penghargaan kepada badan NGO tempatan kerana membantu menubuhkan pusat berkenaan.

Katanya, badan NGO itu dijangka membantu membina latihan kapasiti, yang mana penghuni diberi latihan kemahiran dan keupayaan menyara diri sendiri.

Phee berkata, tiada data berhubung jumlah sebenar gelandangan di negeri ini, namun pihaknya mengakui terdapat 72 gelandangan “menetap” sekitar stesen bas Komtar, sejak 2008.

Dalam pada itu, pengarah JKM negeri, Zakaria Taib, berkata pihaknya akan mula menemuduga gelandangan untuk ditempatkan di pusat itu dengan kadar segera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.