
Memetik Bernama, perkara itu diumumkan Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor Mohamad Munir Bani selepas istiadat ringkas di Istana Alam Shah hari ini.
Terdahulu Menteri Besar Amirudin Shari menghadap Sultan Sharafuddin untuk memohon perkenan pembubaran DUN Selangor bagi memberi laluan kepada PRN yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.
Pada PRU15, enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah dan Kelantan tidak membubarkan DUN.
Media sebelum ini melaporkan pemimpin enam negeri terbabit mencapai kata sepakat masa paling sesuai berbuat demikian adalah dalam tempoh dua minggu terakhir Jun bagi membolehkan PRN diadakan serentak.
Setakat ini, Kelantan telah mengumumkan pembubaran DUN pada 22 Jun manakala Kedah dan Pulau Pinang bercadang membubarkannya pada 28 Jun.
Negeri Sembilan pula dijangka 30 Jun ini.
Pada PRU14, gabungan Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu memenangi 51 kerusi daripada 56 yang ditandingi.
Bagaimanapun, jumlah itu berkurangan kepada 50 selepas Umno yang hanya menang empat kerusi menawan semula kerusi DUN Semenyih pada PRK manakala PAS menang satu DUN di Sijangkang.
Namun, pada 2020, Bersatu yang menang enam DUN bertindak keluar daripada PH menerusi Langkah Sheraton.