
Ahmad Fauzi Abdul Hamid dan Azmil Tayeb Universiti Sains Malaysia masing-masing menganggap tidak realistik untuk PN menang kerusi sebanyak itu di Pulau Pinang, yang ditadbir DAP selama tiga penggal.
“Sekalipun diambil kira empat kerusi Parlimen dengan majoriti pengundi atau penduduknya Melayu sekalipun cuma ada 12 kerusi.
“Jika PN benar-benar menyasarkan 20 hingga 21 kerusi, ia perlu bergantung kepada Gerakan untuk mengalahkan lawannya iaitu calon Pakatan Harapan-Barisan Nasional di kawasan majoriti penduduk Cina atau campuran.
“Dan ini hanya boleh berlaku jika PH-BN meletakkan calon MCA,” kata Fauzi kepada FMT.
Azmil percaya PN mampu menang 10 kerusi di kawasan majoriti Melayu, dan berpendapat kawasan lain dengan pengundi campuran atau bukan majoriti Melayu sebagai “tidak kompetitif untuk PN”.
“PN mampu meningkatkan peluangnya dengan memaut bukan Melayu, tetapi kemungkinan golongan itu menyokong PN amat tipis.
“PN juga tidak menawarkan sebarang dasar alternatif yang substantif kepada kerajaan sedia ada, dan hanya memainkan sentimen yang tidak diterima baik bukan Melayu mahupun Melayu yang tidak berminat dengan politik identiti,” katanya.
Sementara itu, Fauzi bersikap atas pagar sama ada bilangan yang keluar mengundi lebih rendah akan memihak kepada PN.
Katanya, kekecewaan penyokong PH dan BN terhadap kerjasama gabungan berkenaan mungkin mengakibatkan mereka tidak keluar mengundi, seterusnya menguntungkan PN.
“Tetapi sama ada ini cukup untuk memberikan kemenangan kerusi penting kepada PN masih belum tentu. Gerakan akan perlu menguar-uarkan sumbangan lalunya sebagai parti yang membawa Pulau Pinang kepada kedudukannya kini sebagai negeri perindustrian,” katanya.
Gerakan menerajui kerajaan negeri Pulau Pinang antara 1969 hingga 2008.
Azmil menjangkakan bilangan pengundi lebih rendah bagi PRN, tetapi tidak melihatnya sebagai memberi kesan besar terhadap keputusan pilihan raya.
Muhyiddin yang juga presiden PN menyuarakan keyakinan mampu meraih kemenangan “mendekati majoriti” di Pulau Pinang, walaupun menjangka saingan sengit dalam PRN akan datang.
Bekas perdana menteri itu memberitahu Konvensyen PN Pulau Pinang bahawa gabungan itu mampu menang hampir 20 kerusi negeri, dengan 21 diperlukan untuk menang majoriti mudah dalam DUN melibatkan 40 kerusi.