Jangan heret penjawat awam dalam pertelingkahan politik, kata Cuepacs

Jangan heret penjawat awam dalam pertelingkahan politik, kata Cuepacs

Presidennya Adnan Mat berkata tindakan tersebut boleh memberi gambaran tidak baik kepada anggota perkhidmatan awam.

Presidennya Cuepacs, Adnan Mat berkata isu berkaitan saiz perkhidmatan awam yang didakwa terlalu besar dan membebankan kerajaan sepatutnya tidak dibangkitkan lagi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli politik digesa tidak mengheret penjawat awam kedalam pertelingkahan politik mereka kerana ia memberi gambaran tidak baik kepada anggota perkhidmatan itu.

Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) Adnan Mat berkata tindakan seorang ahli politik yang mempersoalkan saiz kakitangan perkhidmatan awam sebagai mengguris hati penjawat awam.

“Adalah tidak adil membuat kenyataan terbuka yang mengguriskan hati penjawat awam dan hanya sekadar membuat permohonan maaf sebagai penyelesaian sedangkan ‘kerosakan’ telah berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Adnan memberi respon pada kenyataan jurucakap Gerakan Pulau Pinang, Mok Kok On yang menyifatkan penjawat awam sebagai membebankan, selain mempersoalkan tindakan kerajaan menambah jumlah penjawat awam.

Gerakan hari ini membuat permohonan maaf secara terbuka atas kenyataan yang dikeluarkan Mok di media sosial itu dan berkata kes berkenaan diserahkan kepada lembaga disiplin parti untuk tindakan selanjutnya.

Kenyataan itu turut menerima kritikan pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, yang menyifatkan kata-kata Mok menimbulkan kemarahan penjawat awam.

Dalam pada itu, Adnan turut menasihatkan semua pihak terutamanya ahli politik supaya tidak membangkitkan isu berkaitan saiz perkhidmatan awam yang didakwa terlalu besar dan membebankan kerajaan.

“Cuepacs ingin menegaskan sekali lagi bahawa saiz perkhidmatan awam negara masih ideal dan tidak terlalu besar berbanding negara lain seperti yang sering dimomokkan.

“Seramai 1.6 juta penjawat awam ketika ini membabitkan sektor pendidikan, pasukan keselamatan dan tenaga kerja kesihatan yang lazimnya tidak diambil kira sebagai kakitangan awam di negara-negara lain.

“Jika ketiga-tiga sektor ini tidak diambil kira, jumlah kakitangan awam hanyalah seramai 600,000 orang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.