
Pengerusi PH Selangor, Amirudin Shari, berkata masih berbaki satu atau dua kerusi belum diputuskan.
“Saya percaya (Pengerusi PH) Anwar Ibrahim sudah ada sesi dengan Presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi) dan sudah ada peningkatan baik daripada jumlah kerusi keseluruhan.
“Saya harap sebaik lepas Raya Haji ini, kita dah selesaikan (pembahagian) kerusi,” katanya selepas melancarkan Jentera Perpaduan PH dan BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Tapak Rakan Muda Sri Andalas, di sini, malam tadi.
Mengenai kriteria bakal calon PH-BN yang akan dipertaruhkan pada PRN Selangor, Amirudin berkata, gabungan itu akan mengetengahkan calon berkredibiliti dan “boleh menang”.
“Formula kami kemenangan, maknanya semua parti harus menampilkan calon (yang mempunyai) kredibiliti dan asas sokongan terhadap parti-parti yang bergabung di bawah kerajaan perpaduan.
“Sudah pasti kami akan cuba letak (calon boleh menang), sebab pilihan raya kami nak menang. Kami datang sebagai penyandang dan ada rekod pencapaian tadbir negeri,” katanya.
Naib presiden PKR itu juga percaya kerjasama PH-BN adalah gabungan baik bagi memastikan kestabilan dalam penggal ini yang sangat getir untuk memulihkan ekonomi negara.
“Kami datang dengan rekod prestasi negeri dan juga corak pentadbiran PH selama 15 tahun. Insya Allah, rasional rakyat dengan kami, lagi pula sekarang ada sebahagian rakan dari BN yang juga berpengalaman dalam pentadbiran.”
Pada 23 Jun lepas, DUN Selangor bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan, sekali gus membuka laluan kepada PRN.
Selangor mempunyai 56 kerusi DUN dan untuk mendapat majoriti mudah, parti bertanding perlu memenangi 29 kerusi bagi membentuk kerajaan.
Pada PRU14, PH yang bertanding menggunakan logo PKR ketika itu, menang 51 daripada 56 kerusi DUN, diikuti BN dan PAS masing-masing dengan empat dan satu kerusi.