Muda, PSM setuju bertemu bincang kerjasama hadapi PRN

Muda, PSM setuju bertemu bincang kerjasama hadapi PRN

Muda terbuka untuk menjalin kerjasama dengan Parti Sosialis Malaysia, kata Syed Saddiq.

PETALING JAYA:
Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersetuju mengadakan satu pertemuan bagi membincangkan kerjasama menghadapi PRN akan datang.

Presiden Muda Syed Saddiq Abdul Rahman berkata dalam komunikasi antara kedua-dua parti beliau mendapati terdapat persamaan dalam isu-isu penting.

“Di mana kita boleh bekerjasama, kita harus bekerjasama tetapi dari segi mesyuarat ia akan ditetapkan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Muda petang tadi.

Berhubung pemilihan calon PRN, Syed Saddiq berkata proses akan dibuat secara demokrasi iaitu dengan membuka peluang kepada sesiapa sahaja rakyat Malaysia yang berminat menjadi calon di semua enam negeri.

Beliau berkata, parti itu sedang mencari calon berpotensi dari semua lapisan masyarakat untuk menjadi “calon rakyat.”

Tambahnya, Muda akan menjelajah ke enam negeri bagi mencari calon berpotensi dan mereka yang berminat boleh memohon secara dalam talian menerusi pautan yang disediakan.

“Muda akan membuka borang permohonan untuk menjadi calon dan kita juga akan membuat jelajah untuk mencari bakat-bakat baru walaupun mereka ini bukan ahli Muda, bukan pimpinan Muda sebelum ini, kita juga ingin bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Muda Luqman Long berkata jumlah kerusi yang akan ditandingi parti itu akan diumumkan dalam masa terdekat dan berhasrat dapat meletakkan sekurangnya 50% calon wanita.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.