
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi, berkata Anwar juga perlu memilih individu yang mempunyai prestasi tinggi untuk dilantik sebagai menteri selain mengetepikan soal kuota parti.
“Saya tertarik komen bekas editor Oriental Daily. Dia menyatakan bila bertanya dengan masyarakat Cina apa reaksi mereka terhadap apa berlaku kepada DAP di Sabah, mereka mengatakan ‘syabas orang Sabah kerana beri pengajaran kepada DAP’.
“Maka, perdana menteri tak kira menteri dari DAP atau PKR beliau kena pastikan pilih mereka yang berprestasi tinggi, yang bagus, yang ada idea. Ini adalah peri penting dalam melakukan rombakan Kabinet. Berdasarkan apa berlaku di Sabah, maka jangan pandang ringan,’ katanya dalam audio siar Omar Puad malam tadi.
Puad yang juga Adun Rengit menyifatkan, isu rombakan Jemaah Menteri menjadi antiklimaks memandangkan perdana menteri mengambil masa terlalu lama untuk mengisi kekosongan sejak Mei lalu susulan peletakan jawatan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai menteri ekonomi serta menteri sumber asli dan kelestarian alam.
“Ia seolah-olah jawatan menteri ekonomi, menteri sumber asli dan kelestarian alam tidak penting, sedangkan ini jawatan penting. Jadi, sebenarnya ia tidak baik dari segi persepsi,” katanya sambil merujuk jawatan menteri pembangunan usahawan dan koperasi dan menteri pelaburan, perdagangan dan industri yang juga kosong.
Bagaimanapun, beliau menghormati kuasa melantik menteri sebagai prerogatif Anwar selaku perdana menteri.
Sementara itu, Puad berharap Anwar akan memberikan jawatan tambahan untuk menteri kepada BN berbanding tujuh ketika ini dalam rombakan dilakukan nanti.
“Kita harap tujuh jawatan menteri BN kekal dan dapat satu lagi kuota tambahan sebab BN menunjukkan kesetiaan mendukung kerajaan perpaduan. Dari segi prestasi di Sabah, BN lebih baik berbanding PH dan DAP…DAP dapat kosong jadi bagilah pada BN,” katanya.
“Cuma, rombakan Kabinet ini sepatutnya menjadi ‘game changer’ di mana menteri-menteri adalah berprestasi tinggi. Jangan memikirkan ini kuota parti. Kalau ada yang perlu digugurkan, gugurkan tak kira dari parti mana, kalau menjadi kritikan terhadap prestasi mereka dan kalau digugur itu kuota parti, lantik orang lain dari parti sama untuk mengisi tempat kosong itu.”
Sebelum ini, Anwar mendedahkan sudah mempunyai senarai calon untuk rombakan Jemaah Menteri, namun ia masih dalam pertimbangan teliti dan beliau enggan terburu-buru membuat keputusan.