
Membalas kenyataan veteran DAP Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Muar itu berkata mereka telah menghantar tiga surat untuk mengadakan pertemuan dengan Pakatan Harapan (PH), namun diperlekehkan apabila Ketua Setiausahanya Saifuddin Nasution Ismail berkata “beliau tidak ada masa untuk membaca surat berkenaan”.
“Anggapan bahawa Muda ‘tergesa-gesa’ dan enggan bekerjasama dengan Anwar adalah tidak berasas.
“Secara peribadi saya telah cuba menghubungi perdana menteri dan pegawainya dengan pelbagai cara sama ada di dalam Parlimen, di luar Parlimen, melalui pesanan teks, dan sebagainya. Malangnya, tiada maklum balas,” dedah Syed Saddiq.
Semalam, Lim menggesa Muda tidak gopoh dalam membuat keputusan bertanding solo pada PRN sebaliknya bekerjasama dengan kerajaan perpaduan.
Beliau berkata, kepimpinan Muda mesti mempertimbangkan semula keputusannya demi kepentingan negara dan rakyat di enam negeri itu.
Muda sudah memohon menyertai PH sebelum PRU15 November lalu, tetapi belum ada perkembangan mengenai perkara itu, atau rundingan kerusi bagi enam PRN akan datang.
Kelmarin, Syed Saddiq mengumumkan Muda akan bertanding secara solo pada PRN, mewujudkan pertembungan dengan PH dan BN walaupun ketiga-tiganya adalah sebahagian daripada blok kerajaan di Dewan Rakyat.
Beliau turut menyelar kepimpinan Anwar yang gagal menunaikan janji- PRU antaranya tidak melantik ahli politik mengetuai GLC dan memisahkan portfolio perdana menteri dengan menteri kewangan.
“Tolong jangan melaungkan ‘kedaulatan undang-undang’ sebelum pilihan raya, tetapi terus berdiam diri apabila berkuasa,” katanya.