
Penganalisis percaya kedudukan Khairy paling runcing kerana beliau masih memendam cita-cita menjadi perdana menteri.
Mereka juga percaya Khairy dan Noh tidak akan dapat kembali ke pangkuan Umno, kecuali prestasi Umno pada PRN enam negeri akan datang memaksa Presiden Zahid Hamidi meletak jawatan.
James Chin, penganalisis politik dan profesor pengajian Asia di Universiti Tasmania, berkata Khairy tidak pernah menafikan keinginan menjadi perdana menteri itu.
“Khairy, sebagai seorang yang bercita-cita tinggi, tidak akan tinggalkan Umno kerana dia mempunyai rancangan untuk menjadi perdana menteri.
“Dia tidak pernah nafi cita-cita itu. Maka, impian itu akan terjejas sekiranya menyertai PAS atau Bersatu, kerana dengan menyertai mereka, dia sekadar ahli kebanyakan.”
“Tetapi, jikalau dia kembali ke Umno, Khairy akan berada dalam kedudukan lebih kukuh. Dia kini boleh dianggap seperti diketepikan buat sementara waktu, tetapi jika dia bertabah, dia berpeluang untuk kembali apabila Zahid dan kumpulannya tersingkir,” katanya kepada FMT.
Berdasarkan gerak-geri Khairy dan Hishammuddin Hussein yang digantung keahlian, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya percaya mereka sedar harapan menjadi perdana menteri hanya boleh dicapai melalui Umno, lebih-lebih lagi dalam landskap politik semasa.
“Mereka tidak berani membentuk parti baharu sebab mereka tahu sangat berisiko dan susah nak berjaya dalam lanskap politik selepas PRU15.
“Khairy sedar kerjayanya akan berakhir sekiranya dia bertanding atas tiket Perikatan Nasional dan tewas.
“Hishammuddin pula akan hilang status wakil rakyat jika dia sertai atau tubuh parti baharu; tetapi Khairy, yang bukan Ahli Parlimen mungkin juga tidak mahu merisikokan kerjaya politiknya,” katanya.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata penggantungan Hishammuddin boleh ditarik balik sekiranya beliau mendiamkan diri ketika PRN.
Beliau percaya Hishammuddin, Khairy, dan Noh sedar kerjaya politik mereka hanya dalam Umno, tetapi pertama sekali mereka haruslah diterima kembali.
“Khairy dan Noh adalah oportunis. Mereka akan perhatikan keputusan PRN dan sertai PN jika prestasi gabungan itu baik. Jika tidak, mereka akan tunggu kepimpinan Umno berubah,” katanya.
Chin berkata terdapat kemungkinan ramai pemimpin kanan Umno dan yang tak terpilih akan berhijrah ke PN sekiranya prestasi Bersatu dan PAS pada PRN adalah baik, sebagai persediaan untuk PRU.
Beliau bagaimanapun percaya strategi itu berisiko tinggi.
“Undi Melayu pecah banyak. PAS nampaknya parti Melayu terkuat, tetapi orang Umno tidak boleh tahan dalam parti itu kerana ahli PAS tidak suka mereka.
“Kalau orang Umno cuba mengubah imej mereka dalam PAS pun, usaha itu tidak akan ke mana, maka peluang menjadi pemimpin PAS hampir sifar.”
Azmi berkata sekiranya PN meraih kemenangan bergaya, Khairy dan Noh akan menyertai Bersatu atau PAS secara rasmi.
Tetapi katanya, jika usaha PN tidak mencapai sebarang kemajuan, mereka sentiasa “boleh kembali ke pangkuan Umno,” meskipun akan berdepan kesukaran selagi saf kepimpinan tertinggi parti dan Majlis Kerja Tertingginya dikuasai pengikut setia Zahid.