SPRM akan siasat dakwaan Tiong berkait rasuah di KLIA

SPRM akan siasat dakwaan Tiong berkait rasuah di KLIA

Ia susulan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing mendakwa wujud budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa 'kronik' di pintu masuk negara.

Azam Baki berkata, SPRM akan mendapatkan maklumat daripada semua pihak dan menyiasat perkara itu sewajarnya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat dakwaan rasuah membabitkan pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kata Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki.

“SPRM akan mendapatkan maklumat daripada semua pihak dan menyiasat perkara itu sewajarnya.

“Oleh itu, kami menggesa orang ramai tidak mensensasikan atau membuat spekulasi mengenai perkara ini,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Semalam, seorang menteri dilapor mencetuskan kekecohan di balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membantu seorang warga China yang ditahan daripada memasuki Malaysia.

Menteri itu juga dilaporkan memarahi polis bantuan KLIA dan pegawai imigresen ketika beliau cuba membantu wanita terbabit.

Susulan itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing mengakui beliau ialah menteri dikaitkan dengan kejadian itu.

Beliau mendakwa wujud budaya rasuah membabitkan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa “kronik” di pintu masuk negara.

Katanya, wanita itu ada memaklumkan bahawa masih ada pegawai bertanya “bila wang mahu dibayar” merujuk kepada sogokan.

“Wanita tersebut memberitahu, sebelum saya sampai, masih ada pegawai bertanya padanya bila boleh bayar wang (sogokan). Kalau bayar (wang sogokan) boleh terus dibebaskan.

Tiong mendakwa pegawai itu ada meminta sekurang-kurangnya RM3,000 untuk dikeluarkan daripada tahanan.

“…dan jika ingin memasuki semula boleh membayar RM3,000 lagi. Dan juga RM12,000 untuk kos memproses visa. Ini bukan undang-undang daripada kerajaan perpaduan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.