Hati-hati dihubungi ‘pegawai polis’ minta derma

Hati-hati dihubungi ‘pegawai polis’ minta derma

Polis berkata suspek menyamar sebagai 'Tuan Nik' atau 'Tuan Syukri' memohon sumbangan untuk program di IPD Bentong.

Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata suspek yang menyamar sebagai pegawai polis itu menjadikan ahli perniagaan di sekitar Bentong sebagai sasaran utama.(Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis meminta orang ramai berhati-hati dengan panggilan telefon dan pesanan WhatsApp yang menyamar sebagai pegawai polis dikenali sebagai ‘Tuan Nik’ atau ‘Tuan Syukri’ bagi meminta derma untuk program di IPD Bentong, Pahang.

Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata pihaknya menerima laporan berhubung aktiviti penipuan itu yang meminta derma wang tunai kononnya untuk satu program melibatkan IPD Bentong.

“Suspek memperkenalkan diri sebagai ‘Tuan Nik’ atau ‘Tuan Syukri’ serta menggunakan gambar profil lelaki yang memakai pakaian seragam polis.

“Suspek didapati menjadikan ahli perniagaan di sekitar Bentong sebagai sasaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Zaiham berkata suspek juga didapati meminta mangsa memberi sumbangan dengan memasukkan wang ke dalam tiga akaun bank berbeza.

Katanya, susulan laporan itu polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga meminta mereka yang menerima panggilan atau pesanan serupa untuk menghubungi IPD Bentong menerusi talian 09-2222222 atau ke balai polis berhampiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.