Belum terlambat PH-Muda kerjasama elak pecah undi, kata Kit Siang

Belum terlambat PH-Muda kerjasama elak pecah undi, kata Kit Siang

Veteran DAP berkata Muda patut bekerjasama dengan kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim dalam enam PRN.

Lim Kit Siang menyimpan cita-cita melihat Muda bekerjasama dengan PH dan kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim dalam enam PRN.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) dan Muda belum terlambat untuk mencapai persefahaman bagi mengelakkan berlaku perpecahan undi pada PRN enam negeri, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

“Seminggu yang lepas, saya cadangkan yang Muda patut bekerjasama dengan kerajaan perpaduan Anwar (Ibrahim) dalam enam PRN bakal berlangsung bulan hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Lim berkata, keputusan enam pilihan raya itu tidak akan membawa kepada kejatuhan serta-merta kerajaan perpaduan, tetapi ia akan menentukan sama ada negara berjaya kembali kepada prinsip Malaysia majmuk yang diterapkan tokoh terdahulu.

“Saya sudah bersara daripada politik barisan hadapan dan saya tidak tahu apa yang sedang terjadi antara Muda dan PH atau kerajaan perpaduan Anwar.

“Tetapi saya menyimpan cita-cita untuk melihat Muda bekerjasama dengan PH dan kerajaan perpaduan Anwar dalam enam PRN,” katanya.

Muda memutuskan bergerak solo pada PRN enam negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata keputusan itu dicapai secara konsensus selepas mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk penyokong parti.

Keputusan itu mungkin menyaksikan Muda bertembung dengan PH dan Barisan Nasional (BN), walaupun ia menjadi sebahagian daripada blok kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.