
Menurutnya, ketika menyelia kedua-dua jabatan itu semasa menjadi menteri dalam negeri, beliau sering mendengar pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap agensi itu.
Bagaimanapun, katanya, tidak adil menyalahkan seluruh jabatan tanpa menyiasat dakwaan tersebut terlebih dahulu.
Beliau berkata, bagi memastikan dakwaan sebegitu tidak berleluasa, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengambil langkah perlu untuk memastikan perkara ini disiasat.
Katanya, beliau menyokong desakan Anwar menyingkirkan pegawai korup dan berharap tindakan akan diambil sekiranya dakwaan terhadap mereka terbukti benar.
“Jika tak benar, tak wajar melakukan tuduhan secara rambang,” katanya pada sidang media.
Semalam, Anwar berkata, beberapa kakitangan JPN sedang disiasat selepas mereka didakwa menuntut bayaran untuk mengeluarkan dokumen tertentu, termasuk bagi kewarganegaraan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga sedang menyiasat dakwaan amalan rasuah di KLIA membabitkan Jabatan Imigresen.
Pada Jumaat, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing mengaku beliau terlibat dalam kekecohan dengan pegawai imigresen di KLIA, apabila beliau cuba campur tangan berhubung kejadian seorang warga China didakwa dihalang masuk ke Malaysia.
Tiong mendakwa, lawatannya ke lapangan terbang itu mendedahkan “budaya rasuah oleh beberapa pegawai, dan penyalahgunaan kuasa kronik”.
Dakwanya, pegawai imigresen meminta sebanyak RM3,000 untuk membebaskan pengembara yang mereka tahan, dan tambahan RM3,000 jika mereka mahu pulang ke negara asal dengan segera.
Sumber SPRM berkata hari ini, agensi itu sedang mengesan individu yang bertindak sebagai ejen dan didakwa meminta rasuah berjumlah RM18,000 untuk menyelesaikan kes sedemikian.
Tambahnya, kenyataan seorang menteri dan dua warga China berhubung insiden pada Jumaat itu telah dirakam.