6 ditahan, sindiket dadah didalangi 2 beradik tumpas

6 ditahan, sindiket dadah didalangi 2 beradik tumpas

Polis berkata sindiket itu mula aktif sejak awal tahun ini untuk edaran pasaran tempatan di seluruh Perak.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri (tiga, kiri) menunjukkan rampasan dadah dan peralatan digunakan untuk memproses bahan terlarang itu pada sidang media di IPK Perak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sindiket pemprosesan dadah didalangi dua beradik tumpas selepas polis menahan enam lelaki dan merampas dadah bernilai RM672,649.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata dua beradik itu antara enam lelaki tempatan berusia 32 hingga 57 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah gudang di Jelapang, dekat Ipoh, kira-kira 3 pagi Rabu lalu.

Katanya, semua suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan, penjaga kolam ikan dan pemotong rumput itu terbabit dalam operasi premis dengan aktiviti memproses dadah.

Beliau berkata, sindiket itu mula aktif sejak awal tahun ini untuk edaran pasaran tempatan di seluruh Perak dan semua bahan kimia digunakan mereka disyaki diperoleh dari pembekal di utara Semenanjung.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati keenam-enam suspek positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.

“Semakan juga mengesahkan mereka mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan dadah,” katanya menurut Sinar Harian.

Yusri berkata, antara dadah dirampas adalah methamphetamine seberat 155g, heroin (52.3g) dan cecair disyaki methamphetamine (47.58 liter).

“Dalam kebanyakan kes sebelum ini, kita merampas dadah siap diproses, sama ada dalam bentuk ketulan atau biji. Kali ini kita berjaya tumpas sindiket pemprosesan dan rampasan melibatkan bahan cecair belum diproses sebagai dadah lain.”

Katanya, enam lelaki itu direman tujuh hari hingga 11 Julai ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.