PAS jamin Annuar, anak tak bertembung

PAS jamin Annuar, anak tak bertembung

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata parti itu tidak akan meletakkan bekas Ahli Parlimen Ketereh berdepan anaknya jika menjadi calon pada PRN Kelantan.

Majlis Syura Ulama PAS akan memutuskan sama ada Annuar Musa bertanding mewakili parti itu sementara Umno Kelantan mengesahkan Afiq Amani antara nama dihantar kepada pucuk pimpinan untuk dipertimbangkan.
PETALING JAYA:
PAS memberi jaminan akan memastikan Annuar Musa tidak bertembung anaknya di kerusi DUN jika menjadi calon parti itu pada PRN Kelantan.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, berkata parti itu tidak akan meletakkan bekas Ahli Parlimen Ketereh untuk berdepan anaknya yang juga Ketua Pemuda Umno Ketereh, Afiq Amani.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan berhubung pencalonan Annuar mewakili PAS dalam PRN pada 12 Ogos ini hanya akan diputuskan Majlis Syura Ulama PAS.

“Apa yang saya boleh sahkan hari ini adalah nama Annuar ada dalam senarai calon dikemukakan kepada Majlis Syura baru-baru ini.

“Namun, sama ada beliau boleh bertanding bawah tiket PAS bergantung kepada keputusan akan dibuat Majlis Syura,” katanya menurut Berita Harian.

Afiq dilaporkan antara 155 nama dihantar Barisan Nasional (BN) Kelantan kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan sebagai calon pada PRN.

Ketua Penerangan Umno Kelantan, Zawawi Othman, mengesahkan Afiq antara nama dihantar kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan sebagai calon dalam sebuah DUN bawah Parlimen Ketereh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.