Bekas wartawan, pemenang Anugerah Kajai meninggal dunia

Bekas wartawan, pemenang Anugerah Kajai meninggal dunia

Wan Noor Hayati Wan Alias atau lebih dikenali sebagai Wanti meninggal dunia di Hospital Serdang pada kira-kira 6.10 petang tadi.

Wan Noor Hayati Wan Alias pernah berkhidmat dengan Utusan Malaysia, Berita Harian dan Media Variasi serta pernah memenangi Anugerah Kajai iaitu anugerah tertinggi dalam bidang kewartawanan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas wartawan dan pemenang Anugerah Kajai, Wan Noor Hayati Wan Alias atau lebih dikenali sebagai Wanti meninggal dunia di Hospital Serdang pada kira-kira 6.10 petang tadi.

Mengesahkan perkara itu abangnya, Wan Mohd Faizal, 46, berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 44 tahun akibat kegagalan jantung setelah bergelut dengan penyakit radang paru-paru.

Beliau berkata jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bintongan, Rembau, Negeri Sembilan, pada 11 malam ini.

Sebelum ini, media melaporkan Noor Hayati dirawat di Hospital Putrajaya kerana kekurangan oksigen dan disahkan dijangkiti Covid-19 pada April lepas.

Sejak itu, tahap kesihatannya mula merosot dan sering berulang-alik untuk menerima rawatan di Hospital Serdang dan Hospital Kajang dipercayai kesan sindrom Covid-19 yang berpanjangan.

Allahyarham dimasukkan semula ke Hospital Serdang pada dua hari lepas.

Selain pernah berkhidmat dengan Utusan Malaysia, Allahyarham merupakan bekas wartawan Berita Harian dan Media Variasi serta pernah memenangi Anugerah Kajai iaitu anugerah tertinggi dalam bidang kewartawanan negara yang diberikan oleh Malaysian Press Institute (MPI) pada 2013.

Keadaan kesihatan Noor Hayati turut mendapat perhatian pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang melawatnya di rumah baru-baru ini dan meminta laporan penuh perubatannya untuk tindakan lanjut.

Allahyarham merupakan ibu tunggal dan meninggalkan seorang anak lelaki berumur sembilan tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.