Pelatih industri kerajaan, GLC terima elaun RM800 sebulan, kata Anwar

Pelatih industri kerajaan, GLC terima elaun RM800 sebulan, kata Anwar

Perdana menteri berkata elaun itu penting terutama bagi mereka daripada keluarga tidak berkemampuan dan miskin.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata secara tradisi pelatih industri tidak menerima sebarang bayaran elaun.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pelajar yang menjalani latihan industri di pejabat kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan menerima elaun minimum RM800 sebulan.

Beliau berkata, biarpun secara tradisi pelatih industri tidak menerima sebarang bayaran, elaun itu penting terutama bagi mereka daripada keluarga tidak berkemampuan dan miskin.

“Pelatih industri memang tiada bayaran…itu betul dan ini untuk pendedahan.

“Tetapi ada yang mereka datang daripada keluarga miskin, malah dalam beberapa dialog saya di universiti, mereka merayu, sudah habis belajar, tiada lagi pinjaman dan bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Jadi mereka terpaksa bergantung kepada ibu bapa. Justeru, untuk kerajaan dan syarikat GLC, elaun RM800 sebulan untuk semua pelatih industri,” katanya ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di Kementerian Kewangan.

Anwar sebelum ini menggesa syarikat yang menawarkan latihan industri kepada pelajar memberikan elaun munasabah kepada kumpulan berkenaan.

Beliau berkata, walaupun perkara itu bukan paksaan, syarikat perlu mempertimbangkan bayaran munasabah bagi membantu pelajar menampung perbelanjaan harian sepanjang tempoh latihan.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, pada 18 Jun lalu berkata kerajaan akan meneliti isu bayaran tersebut susulan laporan terdapat pelajar yang menjalani latihan industri di kementerian, agensi atau jabatan kerajaan serta syarikat swasta tidak dibayar elaun.

Dalam pada itu, Anwar mengakui cadangan memberikan elaun minimum kepada pelajar yang menjalani latihan industri adalah perkara baik.

“Cadangan ini diberikan kepada saya oleh pelajar Tingkatan 6.

“Walaupun kita perlu input daripada pakar ekonomi tetapi kadang-kadang pelajar Tingkatan 6 beri cadangan yang baik dan kita mesti perhalusi,” katanya.

Anwar juga berkata, GLC yang menyediakan 35,000 peluang pekerjaan akan turut mengambil lepasan TVET untuk bekerja.

Beliau meminta semua GLC memberikan laporan berkala berapa jumlah yang diambil supaya sasaran kerajaan untuk mendapatkan 35,000 pekerjaan akan dapat dipenuhi.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata lebih 200,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARa) RM600 mulai Isnin ini.

Beliau berkata, sumbangan itu bagi membolehkan penerima mendapatkan barangan keperluan makanan asas.

Laksana serta-merta

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan, berkata GLC perlu melaksanakan serta-merta bayaran elaun tersebut kepada pelajar menjalani latihan industri.

Beliau berkata, pengumuman elaun minimum RM800 itu dibuat selepas perdana menteri mendapat maklum balas daripada pelajar melalui jelajah Madani sebelum ini.

“Ada wakil mahasiswa sebut kepentingan elaun itu adalah tujuan untuk pengangkutan, makanan dan penginapan.

“GLC ini paksa rela…sebab bila kerajaan umum, GLC bawah kerajaan dianggap satu perkara patut dilaksanakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.