
Perdana menteri berkata, tindakan berselindung di sebalik nama agama untuk mencetuskan polemik hanya akan merosakkan keharmonian serta menjejaskan usaha membangunkan negara.
“Ada orang menggunakan nama kononnya sebagai tokoh Islam. Ada pula yang guna nama sebagai tokoh Hindu atau tokoh agama lain hanya untuk menimbulkan permasalahan,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa dan Peluncuran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan di Masjid Wilayah Persekutuan.
Tegasnya, walaupun Islam merupakan agama persekutuan dan majoriti rakyat Malaysia beragama Islam, hak semua kaum serta kebebasan beragama tetap dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, beliau senang melihat tokoh muda memfokuskan masa dan tenaga ke arah positif untuk membina negara, tanpa sibuk dengan isu memecahbelahkan rakyat berbilang kaum.
“Bagi menjayakan Malaysia sebagai negara Madani, mengangkat martabat, darjat dan harakat bangsa ini, kita tidak boleh lari daripada berpaksikan tauhid, bertaut kepada keyakinan bahawa ahklak baik dan nilai positif mampu membina negara ini.
“Kalau kita tidak menjurus ke arah itu dan diheret setiap hal negatif, tak ada negara yang mampu membangun. Malaysia ini negara majmuk.”
Anwar berkata, pencapaian ekonomi negara seperti pertumbuhan memberangsangkan, inflasi terkawal dan kadar pengangguran rendah boleh terjejas, jika masyarakat terus diheret isu sensitif berasaskan agama serta kaum.
Justeru, beliau menyeru pemimpin agama dan masyarakat mengambil sikap lebih bertanggungjawab dengan menyampaikan mesej damai serta menolak kebencian.
Katanya, semangat toleransi antara kaum, termasuk sikap saling menghormati perayaan dan amalan agama masing-masing, adalah contoh keharmonian yang perlu dipertahankan.