Hospital di Melaka kurangkan perkhidmatan kerana kekurangan doktor

Hospital di Melaka kurangkan perkhidmatan kerana kekurangan doktor

Penempatan pegawai lantikan tetap baharu ke hospital-hospital di luar Melaka mencetuskan kebimbangan.

Menurut Sistem e-Housemen KKM, didapati tiada satu pun kerja kosong di fasiliti kesihatan awam Melaka bagi doktor yang mencari kerja. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Jabatan perubatan dalaman sebuah hospital di Melaka mengumumkan perkhidmatannya dikurangkan ekoran kekurangan pegawai perubatan bulan ini.

Menurut memo dalaman hospital yang disiarkan di platform media sosial Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), kekurangan tenaga manusia itu berikutan penempatan pegawai lantikan tetap baharu ke hospital-hospital di luar Melaka.

Menurut Sistem e-Housemen Kementerian Kesihatan, didapati tiada satu pun kerja kosong di hospital awam atau klinik kesihatan di Melaka bagi kira-kira 4,200 doktor yang sedang mencari kerja.

Melaka mempunyai tiga hospital utama iaitu Hospital Melaka, Hospital Alor Gajah, dan Hospital Jasin.

Sumber di hospital terkesan berkata, oleh kerana tiada pegawai perubatan terlatih yang datang utnuk menggantikan doktor kontrak yang telah mendapat penempatan, kakitangan akan berdepan kesukaran mengendalikan jumlah pesakit yang ramai, memandangkan ia hospital tertiari yang menyediakan penjagaan pakar.

“Menempatkan doktor pelatih yang baru sahaja selesai latihan tidak akan membantu kerana mereka terlebih dahulu perlu menjalani latihan pegawai perubatan sebelum boleh dibiarkan bertugas secara bebas,” katanya kepada FMT.

Menurut MMA, jabatan pembedahan am di hospital terkesan telah menghentikan saringan kanser kolon dan perkhidmatan klinik secara jumpa terus (walk-in) kerana kekurangan itu.

MMA di Twitter semalam berkata pembahagian tenaga manusia yang tidak cekap dan pengurusan yang tidak berkesan oleh jabatan tenaga manusia di Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Awam membawa kepada masalah ini.

“Ini menyebabkan beberapa isu besar dalam penjagaan kesihatan. Oleh kerana jabatan perubatan mengumumkan perkhidmatan dikurangkan ekoran kekurangan kakitangan, penjagaan pesakit terjejas,” katanya.

“Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh ketidakcekapan kerajaan,” katanya.

FMT sedang mendapatkan komen hospital terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.