Ng Suee Lim pertahan kerusi DUN Sekinchan

Ng Suee Lim pertahan kerusi DUN Sekinchan

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata pemilihan Ng Suee Lim untuk kekal mempertahankan kerusi itu adalah berdasarkan prestasinya.

Bekas Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim akan mempertahankan kerusi DUN Sekinchan bagi penggal kelima pada PRN akan datang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
DAP mengumumkan Ng Suee Lim sebagai calon pertama Pakatan Harapan (PH) pada PRN Selangor nanti, yang akan mempertahankan kerusi DUN Sekinchan bagi penggal kelima.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, berkata pemilihan semula naib pengerusi DAP Selangor itu adalah berdasarkan prestasi yang ditunjukkannya sebelum ini.

“Saya nyatakan Suee Lim sudah empat penggal sebagai Adun Sekinchan, pelbagai peranan beliau mainkan, pernah jadi pembangkang, backbencher, speaker hanya satu lagi belum.

“Jadi, saya mohon rakan-rakan di Sekinchan sokong beliau sebagai Adun, wakil rakyat, sekiranya kita sekali lagi berjaya menubuhkan kerajaan di Selangor, DAP akan mencadangkan Suee Lim sebagai salah seorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya di ceramahnya pada Jamuan Makan DAP Sekinchan malam tadi, menurut Utusan Malaysia.

Sementara itu, Ng yang juga penolong setiausaha organisasi DAP berkata, beliau bersedia memasuki DUN bagi penggal kelima walaupun pernah kalah sekali ketika kali pertama menyertai pilihan raya pada 1999 di kawasan sama.

“Selama pengalaman saya di Selangor, kali pertama bertanding amat sukar kerana DAP dalam keadaan paling lemah, sehingga pada ketika itu tak ada orang sanggup jadi calon sebab DAP lemah, BN-MCA terlalu kuat pada ketika itu, bertanding dan saya kalah.

“Tetapi saya tak lari, saya balik ke Sekinchan dan saya buat kerja, pada 2004 saya bertanding lagi, akhirnya diberi mandat oleh rakyat di sana saya menang dengan 344 undi,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak pada 12 Ogos, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal 8 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.