PRN: Ragu kos bawa balik pelajar Kelantan ‘tinggi’, Pemuda PH lapor SPRM

PRN: Ragu kos bawa balik pelajar Kelantan ‘tinggi’, Pemuda PH lapor SPRM

Pemuda PH Kelantan sangsi sama ada kos membawa balik pelajar universiti awam dan swasta balik mengundi sehingga RM30 juta.

Ketua PH Kelantan Zulhazmi Hassan, walaupun peruntukan itu dibentang dalam Bajet Kelantan 2023, namun timbul keraguan besar berhubung kaedah dana itu akan digunakan. (Gambar Fcebook)
PETALING JAYA:
Bimbang dana RM30 juta “projek khas” membawa pulang pelajar universiti awam dan swasta akan disalah guna, Pemuda Pakatan Harapan (PH) Kelantan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketuanya, Zulhazmi Hassan berkata, walaupun peruntukan itu dibentang kerajaan negeri dalam Bajet Kelantan 2023, namun timbul keraguan besar berhubung kaedah dana itu akan digunakan.

“Hal ini kerana kerajaan negeri Kelantan melalui menteri besar (Ahmad Yakob) telah mengumumkan pihaknya menyediakan kemudahan perkhidmatan bas untuk membawa pulang pelajar universiti awam dan swasta untuk pulang mengundi pada PRN 12 Ogos ini. Perkara itu diuruskan oleh Jabatan Perbendaharaan Negeri Kelantan.

“Kos untuk beratus buah bas ini tidak akan sampai atau habis RM30 juta. Jadi saya nak tanya…ke mana baki dari RM30 juta yang perlu dihabiskan dalam tempoh setahun ini,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Turut hadir memberi sokongan terhadap laporan itu adalah daripada Pemuda Umno Kelantan.

Dalam pada itu, Zulhazmi berkata, peruntukan itu seolah-olah menggambarkan lokasi untuk “30 kawasan DUN” yang ingin dimenangi PAS.

Katanya, laporan itu dibuat bagi membolehkan pihak SPRM menyiasat mengenai perkara ini.

“Perkara ini melibatkan dana rakyat yang sangat besar. Sebab itulah siasatan secara terus perlu dilakukan oleh SPRM,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.