
Katanya, Perikatan Nasional (PN) sangat benci Zahid bukan kerana kes mahkamahnya, tetapi disebabkan beliau berani membuat keputusan dan berpegang teguh kepada prinsipnya.
“(Beliau) Muak dengan janji palsu Bersatu dan PAS dan mengatakan sampai ketikanya kita berpakat dengan orang yang sama prinsipnya mempertahankan tatakelola, bela nasib rakyat dan jaga Perlembagaan,” katannya ketika berucap dalam Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Pulau Pinang di Tapak Ekspo Seberang Jaya malam tadi.
“Itu sebab mereka benci sangat dengan Zahid dan saya nak orang Pulau Pinang tahu keberanian dia mengambil risiko kerana ada kelompok masih tidak senang (dengannya), itu yang menyebabkan kita punyai kerajaan stabil hari ini. Saya terima kasih dan ‘salute’ pada Zahid.”
Pengerusi PH itu turut mengimbau beliau dihukum ahli PAS kerana bersekutu dengan DAP dan bagaimana Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek didakwa dengan gelaran “barua DAP”dalam sebuah majlis di Relau.
“(Ahli) DAP tu manusia. Jangan hina dia. Kita boleh beza pendapat satu, dua. Ya kita lawan, tapi dia (PN) hina dia (DAP dengan gelarnya) komunis. Gerakan kata apa pun tak apa, lawan hudud, tulisan Jawi tak apa.
“Saya nak beritahu (Setiausaha Agung DAP) Loke, anda sebahagian keluarga kami. Jangan risau, jangan minta maaf. Ini (Malaysia) tanah anda, anda boleh pergi mana-mana kampung, bandar dan kami akan terus sokong anda di mana calon DAP bertanding.”
Katanya, tiada menteri Kabinetnya dikaitkan dengan kes rasuah, lapan bulan selepas pembentukan kerajaan perpaduan yang merupakan “rekod dalam sejarah negara”.
Jentera perpaduan Pulau Pinang
Terdahulu, Anwar melancarkan jentera perpaduan PH-BN yang akan bertanding dalam PRN Pulau Pinang sebagai satu blok.
Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan akan mengadakan PRN pada 12 Ogos ini.
Jumlah kerusi yang akan ditandingi PH dan BN belum dimuktamadkan.