Pemandu hilang kawalan, 2 penunggang maut di Melaka

Pemandu hilang kawalan, 2 penunggang maut di Melaka

Dua mangsa tercampak beberapa meter dan disahkan maut dalam nahas di Jalan Pulau Gadong.

Ketua Polis Melaka Tengah Christopher Patit, berkata pemandu kereta berusia 36 tahun dipercayai masuk laluan bertentangan lalu merempuh mati dua penunggang itu. (Gambar Facebook)
MELAKA:
Dua penunggang motosikal maut dirempuh sebuah kereta di Jalan Pulau Gadong dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi hari ini.

Ketua Polis Melaka Tengah Christopher Patit, berkata mangsa Nurul Rahimah Abdul Samad, 32, dari Taman Jati Indah dan Iman Nur Azrin Noriman, 18, dari Taman Bertam Ria maut di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta berasal dari Pekan Nyalas, Jasin cedera ringan di bahagian muka.

“Siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu lelaki berusia 36 tahun itu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal terbabit, menyebabkan kedua-dua penunggang tercampak beberapa meter sebelum maut di tempat kejadian.

“Mayat dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan siasatan masih diteruskan berikutan tiada saksi tampil memberi keterangan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.