Penahanan Sanusi dengan Anwar tak sama, kata Rafizi

Penahanan Sanusi dengan Anwar tak sama, kata Rafizi

Rafizi Ramli berkata pemimpin PAS itu tidak bermalam di lokap.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata beliau juga ‘keluar masuk lokap selama berdekad’ ketika disiasat berhubung 14 kes dihadapinya. (Gambar Facebook)
PERMATANG PAUH:
Seorang pemimpin PKR menganggap mereka yang menyamakan penahanan Sanusi Nor dan pengalaman pahit Anwar Ibrahim pada 1998 sebagai perkara “melucukan”.

Rafizi Ramli berkata, pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) itu tidak bermalam di lokap.

Katanya, beliau terkejut membaca perbandingan yang dibuat itu di media sosial sedangkan menteri besar Kedah hanya didakwa di mahkamah.

“Kalau ada orang sepak terajang Sanusi itu lainlah,” kata timbalan presiden PKR itu dalam ceramah Jelajah Madani, malam tadi.

Anwar ditangkap bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1998, beberapa minggu selepas beliau dipecat daripada kerajaan Dr Mahathir Mohamad, kemudian didakwa dengan rasuah dan kes liwat.

Presiden PKR itu turut diserang oleh ketua polis negara ketika itu Abdul Rahim Noor.

Rafizi kemudian mengimbas bagaimana dirinya berdepan 14 kes di mahkamah dan keluar masuk lokap selama sedekad.

“Sanusi bernasib baik kerana ditahan tetapi tidak dimasukkan ke dalam lokap,” katanya.

Pemimpin PAS itu didakwa atas dua pertuduhan membuat kenyataan hasutan terhadap raja semalam. Dia mohon dibicarakan bagi kedua-dua pertuduhan.

Sanusi ditahan pada 3 pagi dan dibawa ke Balai Polis Gombak, yang didakwa pembangkang sebagai tindakan berat.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain yang mempertahankan penahanan awal pagi itu berkata, pihaknya tidak dapat menghubungi pemimpin PAS tersebut sebelum kehadirannya di mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.