SPRM boleh panggil saya bila-bila masa, kata Sanusi

SPRM boleh panggil saya bila-bila masa, kata Sanusi

Menteri besar Kedah itu berkata beliau akan memberi kerjasama penuh terhadap siasat pihak berkuasa berkait kes REE.

Menteri Besar Kedah Sanusi Nor berkata beliau mengalu-alukan siasatan pihak berkuasa berkait kes kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik.
PETALING JAYA:
Menteri Besar Kedah Sanusi Nor berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh memanggil beliau pada bila-bila masa untuk disiasat berkait kes rasuah dan salah guna kuasa perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik.

Sanusi berkata beliau mengalu-alukan pihak berkuasa yang mahu melakukan apa sahaja siasatan dan akan memberi kerjasama penuh.

“Saya sebut banyak kali sejak jadi menteri besar, saya dan pejabat saya dibuka untuk disiasat SPRM atau mana-mana agensi.

“Boleh siasat 25 jam sehari, lapan hari seminggu, boleh hubungi saya melalui WhatsApp kalau saya tak sempat jawab panggilan telefon,” katanya lapor Harian Metro.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya akan memanggil Sanusi berhubung kes kecurian REE di negeri itu.

Kata Azam, Sanusi akan dipanggil berhubung satu surat tular berkaitan perlombongan haram yang ditandatangani oleh beliau.

Menurutnya, SPRM juga sudah merakam keterangan 12 saksi dan sedang mengesan beberapa individu dari China yang dipercayai membuat pelaburan dalam perlombongan REE itu.

Semalam, SPRM menahan reman seorang pegawai kanan di Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan seorang wanita yang juga pengarah syarikat bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa berkait aktiviti perlombongan REE di Kedah berjumlah lebih RM13 juta.

Suspek yang berusia 40 dan 63 tahun itu ditahan di Alor Setar, Kedah dan di ibu negara, direman tiga hari bermula semalam hingga 21 Julai ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.