
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook turut mengesahkan akan mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah manakala calon muka baharu Desmond Sian Meow Kong bertanding di DUN Rahang.
Turut dicalonkan Teo Kok Seong (Bahau), J Arul Kumar (Nilai), Chew Seh Yong (Lobak), Ng Chin Tsai (Temiang), Nicole Tan ( Bukit Kepayang), Yap Yew Weng (Mambau), P. Gunasegaran (Seremban Jaya ), Choo Ken Hwa (Lukut) dan S. Veerapan (Repah).
“Negeri Sembilan merupakan negeri yang kita telah menang atas semangat Pakatan Harapan (PH) pada 2018. Saya anak Negeri Sembilan, membesar di negeri ini, politik bermula di sini, sudah tentu Negeri Sembilan dekat di hati saya.
“Kebanyakan 11 kerusi ini kita kekalkan 10 status quo cuma hanya satu kerusi di Rahang (calon baharu), kebanyakan calon DAP di Negeri Sembilan masih muda daripada usia 30-an hingga awal 60-an,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan calon pada Majlis Pengenalan Calon PH di sini malam tadi.
Beliau berkata DAP hanya bertanding di empat negeri dan akan mengumumkan calon parti itu di Selangor esok diikuti Pulau Pinang serta Kedah, masing-masing pada Selasa ini.
“Malam ini ia bukan soal calon DAP, soal calon Amanah atau Keadilan tetapi hanya PH kerana kita mewakili PH, kita masuk bertanding dengan logo PH,” katanya.
Pada Jumaat lepas, Barisan Nasional (BN) mengumumkan 17 calon yang akan bertanding di Negeri Sembilan diikuti pengumuman enam calon PKR oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim merangkap presiden PKR dan dua calon Amanah oleh Presidennya, Mohamad Sabu.
Loke berkata semua calon perlu mempertahan kerajaan negeri sekali gus mengekalkan Pengerusi PH Negeri Sembilan Aminuddin Harun sebagai menteri besar.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Amanah yang menyerahkan satu kerusi yang disandang parti itu kepada BN pada PRU14 iaitu DUN Lenggeng.
“Saya faham ada yang kecewa tapi kita sama-sama berkorban, bukan sahaja Amanah tetapi DAP juga ada hilang kerusi di Selangor, PKR juga ada serahkan kerusi kepada BN, begitu juga BN… jadi, kita sama-sama ada semangat pengorbanan.
“Kita menunjukkan komitmen semangat berpasukan… kita kena faham kita ada misi dan tugas besar iaitu pastikan kerajaan ini menang… kita pertahankan kerajaan negeri ini sekali gus boleh pertahankan kerajaan persekutuan,” katanya.
Berikut adalah senarai calon DAP di Negeri Sembilan:
- N01 Chennah – Loke Siew Fook
- N08 Bahau – Teo Kok Seong
- N10 Nilai J. Arul Kumar
- N11 Lobak – Chew Seh Yong
- N12 Temiang – Ng Chin Tsai
- N21 Bukit Kepayang – Nicole Tan
- N22 Rahang – Desmond Sian Meow Kong
- N23 Mambau – Yap Yew Weng
- N24 Seremban Jaya – P Gunasegaran
- N30 Lukut – Choo Ken Hwa
- N36 Repah – S Veerapan