
PETALING JAYA: Sebuah kumpulan antirasuah menggesa kerajaan memastikan perlindungan sepenuhnya diberikan kepada guru yang memberikan maklumat mendedahkan ketidakhadiran rakan sekerjanya selama berbulan-bulan.
Transparency International Malaysia (TI-M) berkata, Putrajaya harus melindungi Nurhaizah Ejab daripada “sebarang gangguan yang nyata atau tersirat” dan mengeluarkan amaran bahawa semua yang mengganggu atau mengugut saksi atau pemberi maklumat akan dikenakan tindakan berat.
“TI-M menyeru Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memastikan guru pemberi maklumat Nurhaizah Ejab diberi perlindungan sepenuhnya terhadap sebarang bentuk tindakan balas atau ugutan,” kata presidennya, Muhammad Mohan, dalam kenyataan.
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menganugerahkan ganti rugi RM90,000 kepada tiga bekas pelajar SMK Taun Gusi, Kota Belud, dalam saman mereka terhadap seorang bekas guru dan lain-lain, kerana enggan mengajar mereka bahasa Inggeris pada 2017.
Hakim Leonard David Shim berpendapat, plaintif – Rusiah Sabdarin, Nur Natasha Allisya Hamali dan Calvina Angayung – telah membuktikan kes mereka berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Nurhaizah disenaraikan sebagai saksi terhadap guru bahasa Inggeris yang tidak hadir mengajar, Jainal Jamran.
Pelajar terbabit turut menamakan bekas pengetua, Suid Hanapi, ketua pengarah pendidikan, menteri pendidikan, dan kerajaan persekutuan sebagai defendan.
Mereka berkata, Jainal ditugaskan untuk mengajar bahasa Inggeris tiga kali seminggu dari Januari hingga Oktober 2017, tetapi hanya hadir pada dua bulan pertama.
Menurut pelajar itu lagi, kerajaan juga gagal mengambil langkah menyelesaikan isu ketidakhadiran Jainal dan melanggar kewajipan statutorinya apabila tidak bertindak.
Beberapa media sebelum ini melaporkan keterangan Nurhaizah bahawa beliau menerima ugutan bunuh dan tayar keretanya dikelar selepas memfailkan aduan mengenai Jainal kepada pihak sekolah.
Pada 21 Julai lalu, FMT melaporkan bekas pelajar SMK Taun Gusi melancarkan petisyen dalam talian bagi mendapatkan perlindungan undang-undang untuk Nurhaizah.
Mengulas kes itu, Muhammad berkata, Putrajaya harus menambah baik budaya tadbir urus dalam perkhidmatan awam, termasuk menguatkuasakan klausa “surcaj” terhadap mana-mana penjawat awam awam yang didapati cuai dalam melaksanakan tugas dan menyalahgunakan jawatan mereka.
Katanya, kerajaan juga harus memudahkan pemberi maklumat dalam sektor swasta dan awam melaporkan isu tanpa ada rasa takut diugut, diganggu atau dihukum.