PRN: Tanding secara adil atau kalah di mahkamah seperti PAS, Bersih beritahu ahli politik

PRN: Tanding secara adil atau kalah di mahkamah seperti PAS, Bersih beritahu ahli politik

Thomas Fann berkata pembatalan kemenangan calon PAS oleh Mahkamah Pilihan Raya Terengganu sepatutnya menjadi peringatan yang tegas.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu bulan lalu membatalkan keputusan Parlimen Kuala Terengganu kerana wujud unsur rasuah ketika kempen. 
PETALING JAYA:
Bersih memberi amaran kepada ahli politik supaya berhati-hati mengumumkan bantuan atau janji sepanjang kempen PRN untuk mengelakkan keputusannya dibatalkan menerusi proses undang-undang.

Pengerusinya Thomas Fann berkata keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu bulan lalu yang membatalkan kemenangan PAS di Kuala Terengganu pada PRU15 kerana wujud unsur rasuah ketika kempen harus menjadi peringatan tegas.

“Ia sepatutnya menjadi amaran kepada semua bahawa mereka perlu memenangi pilihan raya dengan cara yang betul kerana jika tidak mungkin boleh kalah di mahkamah,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi pada Jumaat yang meluluskan RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu, selain RM200,000 bagi kelab bermotosikal di negeri itu, sehari sebelum penamaan calon berlangsung semalam.

Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) turut menggesa belia yang hadir pada majlis itu supaya mengundi “gelombang biru dan merah” pada PRN bulan depan.

Terengganu antara enam negeri diadakan PRN selain Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menuduh Zahid cuba “menormalkan rasuah” namun dinafikan Zahid.

Fann turut menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengisytiharkan bahawa semua inisiatif diumumkan tidak bergantung kepada keputusan pilihan raya.

“Beliau mesti segera mengarahkan kerajaannya untuk mematuhi larangan 3C,” katanya merujuk kepada peraturan “tiada syarat, tiada kempen dan calon” diperjuangkannya untuk memastikan tiada salah guna kuasa untuk menarik pengundi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.