Bunuh wanita, suami isteri dihukum gantung

Bunuh wanita, suami isteri dihukum gantung

Wanita itu dibunuh kerana berhutang dengan pasangan terbabit selain mahu melacurkan anak mangsa demi keuntungan.

Tertuduh Seow Pei Chee dan suaminya Cheung Chia Ming dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh seorang wanita. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Suami isteri dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Sibu selepas didapati bersalah membunuh seorang wanita tiga tahun lalu.

Hakim Christopher Chin Soo Yin ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadap Seow Pei Chee dari Subang Jaya dan suaminya Cheung Chia Ming dari Kuala Lumpur.

Beliau berkata, terdapat niat kedua-dua tertuduh yang masing-masing berusia 41 tahun melakukan kesalahan itu kerana mangsa tidak mampu membayar hutang kepada mereka yang juga peminjam wang.

“Anda didapati bersalah membunuh, fakta kes ini mengejutkan saya dan akan mengejutkan sesiapa sahaja dalam masyarakat sivil.

“Anda telah menjadikan mangsa dan anak perempuannya yang masih remaja selama bertahun-tahun hidup dalam penyeksaan, ketakutan, dan penderaan fizikal.

“Anda hidup dengan hasil pendapatannya sebagai seorang pelacur dan apabila dia tidak cukup pendapatan, anda bertindak ganas kepadanya. Anda juga mahu melacurkan anak perempuan si mati untuk memperoleh keuntungan anda sendiri sebagai peminjam wang,” katanya menurut Berita Harian.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Berdasarkan laporan sebelum ini, Heng Heow Lin, 38, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan badan akibat dibunuh antara 10 malam pada 4 Okt 2020 dan 6 pagi pada 6 Okt 2020 di sebuah rumah di Jalan Tong Sang, Sibu.

Mayat mangsa yang berasal dari Perak itu kemudian disumbat dalam beg pakaian dan dibuang di Jalan Aman, Sibu sebelum ditemui oleh orang awam kira-kira 6.30 pagi pada 6 Okt 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.