MIC tak senang dengan kedudukannya dalam BN, kata Vigneswaran

MIC tak senang dengan kedudukannya dalam BN, kata Vigneswaran

Presiden MIC itu turut menyuarakan rasa tidak puas hati dengan rundingan pengagihan kerusi bagi PRN 12 Ogos.

SA Vigneswaran berkata, Anwar Ibrahim sepatutnya mempertimbangkan satu jawatan menteri dalam Kabinetnya kepada MIC atau MCA.
KUALA LUMPUR:
MIC tidak senang dengan kedudukannya sebagai parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) sejak beberapa bulan lalu, kata Presidennya, SA Vigneswaran.

Katanya, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sepatutnya mempertimbangkan satu jawatan menteri dalam Kabinetnya kepada MIC atau MCA.

Vigneswaran turut menyuarakan rasa tidak puas hati dengan rundingan pengagihan kerusi bagi PRN 12 Ogos, dengan mendakwa Umno “berebut kerusi”.

Katanya, rundingan kerusi tidak mencerminkan semangat permuafakatan biasa dalam BN.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan pemimpin MIC dan Anwar tengah hari ini yang turut dihadiri Pengerusi BN, Zahid Hamidi.

Vigneswaran berkata, beliau terkejut melihat kehadiran Zahid kerana “apabila saya nampak Zahid, saya tak boleh bercakap”.

“Saya menjangkakan dia tidak datang,” katanya ketika berucap.

Vigneswaran turut mendakwa Zahid memaklumkannya MIC akan dipertimbangkan untuk jawatan kerajaan selepas PRU15, tetapi mengeluh ia belum direalisasikan.

“Tiada jawatan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) diberikan. Bukannya kami mahu jawatan kerajaan, ia mengenai rasa hormat.

“MIC sudah lama (berada dalam BN). Kami bersama BN selama ini. Kami hanya ikut ‘abang’ kami. Kami hanya mahu satu jawatan menteri dan satu jawatan exco di negeri tertentu.”

Sementara itu, Vigneswaran meminta semua jentera MIC berkempen untuk calon PH, walaupun keputusan sebelum ini hanya membantu calon BN.

“Saya minta semua pemimpin MIC seluruh negara bermula hari ini, turun berkempen kepada calon PH.

“Memang sebelum ini kita mengambil keputusan untuk tidak berkempen kepada calon PH,” katanya.

Sebelum ini, MCA dan MIC membuat ketetapan tidak bertanding pada PRN enam negeri bulan depan.

Tindakan dua parti komponen BN itu dibuat selepas mendapati mereka diketepikan daripada rundingan pembahagian kerusi antara BN dan PH.

Sebelum mengakhiri ucapannya, Vigneswaran turut mengemukakan aku janji bersama akar umbi untuk menyokong Anwar serta membantu kemenangan kerajaan perpaduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.