
Dalam pelancaran manifesto itu, Ketua PN negeri Ahmad Faizal Azumu berkata, gabungan itu akan memperuntuk RM2 juta setahun membantu anak muda Negeri Sembilan terlibat dalam e-dagang dan pertanian.
“Kami juga menawarkan dana keusahawanan belia dengan menyediakan perniagaan digital atau latihan e-dagang untuk memberi aspirasi kepada usahawan muda, dengan peruntukan RM1 juta setahun,” kata bekas menteri besar Perak itu.
PN Negeri Sembilan berjanji memperuntuk RM1 juta kepada setiap daerah di negeri berkenaan bagi membangunkan industri e-sukan, selain penyediaan subsidi RM300 bagi anak muda mendapatkan lesen motosikal Kelas B2.
PN juga mahu menyalurkan RM2 juta setahun bagi menyelenggara dan naik taraf kemudahan di sekolah agama, termasuk memberi subsidi bayaran tambang bas sekolah kepada pelajar sebanyak 20%.
Selain itu, gabungan berkenaan mahu mewujudkan lebih banyak kemudahan penjagaan kanak-kanak dan meningkatkan bantuan kebajikan kepada warga emas, orang kurang upaya, masyarakat Orang Asli, dan peneroka Felda.
PN turut menjanjikan penyaluran RM5 juta bagi memacu sektor pelancongan Negeri Sembilan.
Satu panel dianggotai pakar daripada pelbagai bidang akan ditubuhkan bertujuan memastikan semua janji dilaksana sepenuhnya.
Gabungan itu juga akan memastikan kerajaan negeri dan majlis daerah bebas rasuah.
Antara janji lain dalam manifesto PN Negeri Sembilan:
- Dana RM5 juta demi memastikan keterjaminan makanan negeri;
- Geran RM1 juta melatih dan meningkatkan kemahiran usahawan wanita;
- Subsidi RM300 bagi perbelanjaan ibu bagi pasangan mendapat cahaya mata pertama; dan,
- RM15 juta meluaskan liputan WiFi percuma.