
Calon BN Tanjong Dawai, Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata ahli Umno masih dihantui kerjasamanya dengan Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai DAP dan berasa sangsi untuk memberi sokongan.
“Kena akur bahawa kita masih lagi dihantui dengan UmDAP (Umno dan DAP) dalam kalangan ahli akar umbi, tetapi apabila tiba masa untuk kita berdepan lawan sepatutnya…walaupun hati tidak selesa tetapi mereka harus meletakkan kepentingan parti lebih dari segala-galanya.
“Kerjasama ini baru lapan bulan, bagi saya ini adalah ujian dan masih awal untuk menilai kerjasama,” katanya yang juga ketua penerangan Umno Kedah kepada FMT baru-baru ini.
Shaiful berkata, kerjasama BN-PH tidak boleh disifatkan gagal jika kalah pada PRN Kedah 12 Ogos ini, sebaliknya perlu diberi masa untuk mencari keserasian memandangkan kedua-duanya telah lama bermusuh.
“Kita nak cari persamaan ideologi politik ia ambil masa, kena ada pendirian sebab kita berhadapan dengan DAP cukup lama, dan kita punya perang dengan DAP sangat sengit.
“Tapi kita kena ada sikap saling memaafkan, kalau tak ada sentimen untuk memaafkan saya rasa kita tak boleh bergerak ke hadapan, macam saya sendiri saya sudah maafkan (DAP),” katanya.
Shaiful berdepan pertandingan satu lawan satu dengan Hanif Ghazali daripada Perikatan Nasional (PN) di kerusi Tanjong Dawai.