Penganjur Good Vibes Festival tuntut The 1975 bayar RM12.2 juta

Penganjur Good Vibes Festival tuntut The 1975 bayar RM12.2 juta

Future Sound Asia akan memfailkan saman sivil di UK sekiranya kumpulan itu tidak menurut tuntutan ganti rugi tersebut.

Konsert Good Vibes Festival pada 21 hingga 23 Julai itu dibatalkan selepas sehari berlangsung selepas penyanyinya Matt Healy mengkritik undang-undang LGBT negara sebelum mencium anggota lelaki kumpulan itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penganjur konsert Good Vibes Festival, Future Sound Asia (FSA) menuntut kumpulan The 1975 membayar ganti rugi lebih RM12.2 juta kerana melanggar kontrak selepas kerajaan membatalkan festival tiga hari itu.

Festival pada 21 hingga 23 Julai itu dibatalkan selepas sehari berlangsung selepas penyanyi utamanya Matty Healy mengkritik undang-undang LGBT negara sebelum mencium anggota lelaki kumpulan itu.

Menurut laporan Malay Mail, peguam FSA David Mathew berkata wakil Healy mengemukakan jaminan bertulis sebelum persembahan bahawa penyanyi dan kumpulan itu “akan mematuhi semua garis panduan dan peraturan” yang ditetapkan untuk konsert di Litar Antarabangsa Sepang itu.

“Bagaimanapun, jaminan itu tidak diendahkan, dan tindakan kumpulan itu jelas bertentangan dengan kontrak bersama FSA, yang menyebabkan festival itu dibatalkan dan kerugian pada pihak FSA,” kata Mathew.

Dalam surat tuntutan, FSA menuntut The 1975 bertanggungjawab dan juga membayar £2,099,154.54 (kira-kira RM12,239,000) dalam tempoh tujuh hari.

Katanya, FSA juga akan mengemukakan saman sivil di United Kingdom sekiranya kumpulan itu gagal mematuhi tuntutan tersebut.

FSA dalam satu kenyataan berkata, tindakan kumpulan itu melanggar perjanjian mereka dengan FSA untuk persembahan di festival tersebut.

Katanya, selain berdepan kerugian yang besar, pembatalan Good Vibes Festival memberi impak negatif pada artis tempatan dan perniagaan yang bergantung pada kejayaan festival itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.