
Calon PN DUN Hulu Kelang itu memberikan alasan ‘pengalaman di Johor’ menyebabkan komponen berkenaan tidak mahu mengumumkannya, berbanding lawan mereka Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang memilih mengekalkan Amirudin Shari.
Azmin merujuk kepada situasi selepas PRN Johor apabila Hasni Mohammad, calon menteri besar dari BN yang memenangi pilihan raya itu tidak dilantik sebaliknya Sultan Johor memperkenan melantik Adun Machap, Onn Hafiz Ghazi sebagai menteri besar ke-19.
“Saya percaya di kalangan pimpinan tertinggi PN sudah ada pemikiran siapa individu yang akan diberi tanggungjawab sebesar ini dan sudah pun ada konsensus.
“Namun kita telah ambil ketetapan untuk tak menamakan ‘poster boy’ kerana itu adalah kuasa mutlak sultan untuk melantik menteri besar, jadi tak perlu kita namakan sebab pengalaman di (PRN) Johor,” katanya pada podcast Keluar Sekejap dihoskan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.
Azmin, bekas menteri besar Selangor antara nama disebut-sebut bakal dilantik mengetuai pentadbiran Darul Ehsan jika gabungan Bersatu, PAS dan Gerakan berjaya menang PRN Sabtu ini.
Semalam, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata beberapa nama telah disenarai pendek bagi jawatan berkenaan namun hanya mengumumkan selepas calon itu menang pilihan raya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mencabar PN untuk mengumumkan calon menteri besar Selangor.
Bagaimanapun, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata, parti itu berpendirian untuk tidak mengumumkannya dan akan berbuat demikian pada masa sesuai.