Wanita, teman lelaki didakwa aniaya anak

Wanita, teman lelaki didakwa aniaya anak

Mereka didakwa menganiaya mangsa berusia empat tahun di Taman Menglembu Impiana Adril, Ipoh, 2 Ogos lalu.

Seorang wanita dan teman lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan menganiaya anak, minggu lalu. (Gambar Bernama)
IPOH:
Seorang wanita dan teman lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menganiaya anak lelaki wanita itu yang berusia empat tahun di sebuah pangsapuri, minggu lalu.

A Kanageswary, 23, yang bekerja sebagai tukang cuci dan S Uthayakumar, 26, bertugas sebagai pembantu stor didakwa melakukan penganiayaan itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa lelaki berusia empat tahun enam bulan di sebuah pangsapuri di Taman Menglembu Impiana Adril, kira-kira 4.30 petang, pada 2 Ogos.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon Silvaraj menawarkan jaminan RM15,000 setiap seorang, namun peguam Kelvin Francis memohon jaminan RM3,000 atas alasan kedua-dua anak guamnya menghadapi masalah kewangan dan mahu memulakan kehidupan baharu setelah bercerai dengan pasangan lama.

Kelvin berkata Uthayakumar juga mengalami masalah sakit urat, selain mempunyai tiga anak dan dalam proses penceraian sementara penjamin iaitu ibunya hanya mempunyai RM3,000.

Bagaimanapun, Hakim Ainul Shahrin Mohamad membenarkan masing-masing diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Okt untuk sebutan kes.

Pada 3 Ogos, media melaporkan rayuan sayu seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di sebalik jeriji berkunci rumahnya untuk meminta makanan daripada orang ramai, membongkar kisahnya menjadi mangsa dera ibu dan teman lelaki wanita itu.

Kanak-kanak yang ditinggalkan bersendirian dan dipenuhi kesan luka seluruh badan itu, kemudian diselamatkan polis, selepas menerima laporan daripada orang awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.