
Naib presiden Umno berkata, bukan mudah untuk wakil rakyat seperti Ahli Parlimen atau Adun melompat parti kerana adanya Akta Anti-Lompat Parti dan perjanjian dengan parti.
“Sebab itu saya kata pimpinan PAS ini, dia punya pengetahuan berbanding BN jauh rendah.
“Sejak tahun 80-an sampai sekarang modal dia apa….undi PAS masuk syurga. Hari ini masih guna benda sama,” katanya pada sidang media selepas program santai bersama nelayan dan calon BN DUN Linggi.
Terdahulu, Hadi dilaporkan mendakwa terdapat sebilangan Ahli Parlimen kerajaan perpaduan “menunggu” PN memenangi PRN enam negeri 12 Ogos ini sebelum menyatakan sokongan kepada gabungan pembangkang itu.
Hadi berkata, dengan sokongan Ahli Parlimen tersebut termasuk dari Sabah dan Sarawak, PN mampu menukar kerajaan persekutuan diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata dakwaan ramai ahli Umno keluar parti kerana tidak bersetuju dengan kerjasama antara Pakatan Harapan dan BN hanya digembar-gemburkan.
Katanya, ahli Umno yang keluar parti tidak ramai seperti yang didakwa.
“Mereka pun ada yang sudah keluar parti, ada juga yang ingin berpatah balik kepada parti…sebab masa keluar parti, mereka tidak faham kerajaan perpaduan terutama bersama DAP,” katanya.
Menteri besar Pahang itu juga berkata, ahli Umno tidak perlu ragu-ragu dengan kerjasama parti dalam kerajaan perpaduan.
“Ini kerana selama sembilan bulan, kerajaan perpaduan ditadbir dan diurus dengan terbaik bawah perdana menteri,” katanya.