Menantu Muhyiddin nafi lari

Menantu Muhyiddin nafi lari

Peguam Adlan Berhan berkata dia akan kembali ke Malaysia dan membantu SPRM dalam siasatannya selagi tiada 'unsur ancaman dan penganiayaan'.

Pada Isnin, SPRM berkata ia menjejaki Adlan Berhan dan peguam Mansoor Saat untuk membantu siasatan ke atas projek melibatkan data biometrik pekerja asing. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA:
Menantu bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, Adlan Berhan, menafikan melarikan diri.

Dalam kenyataan, peguam Adlan berkata beliau akan kembali ke Malaysia untuk membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan sebarang siasatan selagi “unsur ancaman dan penganiayaan dihapuskan”.

“Anak guam kami, seperti mana-mana warganegara bebas Malaysia yang lain, mempunyai hak untuk bergerak dan melancong, termasuk ke luar negara, dan lebih-lebih lagi untuk menjalankan perniagaannya di mana-mana bahagian dunia,” kata kenyataan dikeluarkan Baljit Singh Sidhu.

“Pengunaan hak-hak ini oleh anak guam kami tidak seharusnya ditafsirkan sebagai percubaan untuk mengelak atau menghentikan siasatan.”

Pada Isnin, SPRM berkata ia menjejaki Adlan dan peguam Mansoor Saat untuk membantu siasatannya ke atas projek melibatkan pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan data biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Agensi anti-rasuah itu berkata Adlan dan Mansoor meninggalkan negara pada Mei.

Baljit berkata, Adlan tidak pernah ditangkap atau dipanggil SPRM untuk membantu dalam apa jua bentuk siasatan sebelum meninggalkan negara.

Beliau berkata, Adlan telah dihubungi oleh pegawai SPRM dan  menjawab dalam surat pada 3 Jun bahawa dia akan melancong ke luar negara untuk urusan perniagaan, dan memberikan tarikh kepulangannya. Bagaimanapun, Baljit mendakwa SPRM tidak menjawab surat Adlan itu.

Dalam surat itu, beliau berkata, Adlan menekankan “keluarbiasaan” dalam kelakuan SPRM, termasuk membekukan akaunnya dan syarikatnya tanpa sebarang notis atau sebab.

Mendakwa Adlan “diancam” dan “diganggu tanpa henti” oleh pegawai SPRM, Baljit berkata Adlan “menafikan sekeras-kerasnya” sebarang anggapan bahawa dia tidak boleh dihubungi.

“Dia sedang berhubung dengan pegawai penyiasat yang bertanggungjawab dalam siasatan. Dia sentiasa menyatakan sedia bekerjasama dalam mana-mana siasatan seperti dikehendaki oleh undang-undang, tetapi tidak akan menerima sebarang ancaman terhadapnya dan keluarganya,” katanya.

Beliau berkata, semua isu ini telah “menetapkan dengan jelas” bahawa siasatan tidak dijalankan secara objektif dalam rangka kerja undang-undang, dan dengan itu, mengancam kebebasan sivil Adlan, yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sambil menegaskan Adlan bukan ahli politik, Baljit berkata anak guamnya “terkejut” dengan sebarang percubaan untuk menggunakannya sebagai alat untuk meraih “political mileage” oleh sesiapa sahaja, termasuk agensi penguatkuasaan.

Beliau berkata, kenyataan media SPRM pada Isnin yang dikeluarkan kurang seminggu sebelum pengundian di enam negeri Sabtu ini, “menunjukkan bahawa terdapat unsur politik dalam keseluruhan proses itu”.

“Beliau bukan sasaran mudah digunakan untuk mendapatkan atau mengenakan mana-mana ahli politik,” katanya.

“Kenyataan media yang meminta bantuan untuk mengesannya adalah sama sekali tidak perlu. Ia juga cubaan untuk memburukkan dan mengaibkan anak guam kami.

“Anak guam kami juga terkejut bahawa perdana menteri melihat wajar untuk mengulas mengenai isu ini, yang menunjukkan bahawa terdapat beberapa plot yang sedang dimainkan.”

Pada ceramah di Pulau Pinang semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa Adlan menyerah diri jika merasakan tidak bersalah.

“Jika dia rasa dia tidak bersalah, dia patut membela diri. Lari bukan contoh yang baik,” kata Anwar dipetik The Star.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.