Gerakan bergantung pada Bersatu, PAS untuk survival politik, kata penganalisis

Gerakan bergantung pada Bersatu, PAS untuk survival politik, kata penganalisis

Penganalisis berpendapat Gerakan berdepan nasib sama seperti MCA dan MIC dalam Barisan Nasional.

Penganalisis berkata, layanan diterima Presiden Gerakan, Dominic Lau daripada PAS dalam satu ceramah baru-baru ini menunjukkan parti itu kurang relevan dalam PN.
PETALING JAYA:
Gerakan mampu bertahan hanya disebabkan kerjasamanya dengan Bersatu dan PAS, parti komponen Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata, ketika sokongan kepada bekas parti komponen Barisan Nasional (BN) itu semakin merosot, prestasi Gerakan dalam PRN esok bergantung sepenuhnya kepada kerjasama dengan dua parti dominan PN itu.

“Gerakan adalah token wakil bukan Melayu dalam PN. Ia hanya mampu menang di kerusi majoriti Melayu berdasarkan kerjasama dengan PAS dan Bersatu. Satu contoh ialah DUN Bayan Lepas yang ditandingi Dominic Lau merupakan kerusi majoriti Melayu.”

Namun, hubungan Gerakan dengan dua parti dominan Melayu itu dilihat tegang, seperti dalam video Lau diminta meninggalkan ceramah PN di Sungai Dua, Pulau Pinang.

Walaupun presiden Gerakan itu menafikan insiden terbabit, ramai percaya episod itu menjadi cerminan terhadap kecenderungan PAS mengetepikan parti itu dan orang bukan Melayu.

Dalam respons terhadap insiden itu, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong memberi amaran wakil rakyatnya akan berundur, jika PN mengamalkan politik ekstremisme selepas memenangi PRN.

Minggu lalu, Ketua Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menggesa Gerakan meninggalkan PN untuk “membantah ekstremisme PAS”.

Azmil berkata, Gerakan patut meninggalkan PN kerana tiada kedudukan dalam gabungan itu dan ia lebih berkredibiliti jika bersendirian.

“Ternyata Gerakan anggota junior dalam PN dan tidak memainkan banyak peranan dalam menentukan agenda PN. Parti itu tiada kapasiti untuk menegur PAS dan Bersatu dalam agenda ekstrem mereka.

“Lebih baik Gerakan bertanding sendiri sebagai kuasa ketiga.”

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berpendapat Gerakan berdepan nasib sama seperti MCA dan MIC dalam BN.

“Apa yang Gerakan hadapi hari ini adalah masalah sama dihadapi MCA dan MIC sedekad lalu. Dominasi Umno menyebabkan MCA dan MIC sangat tak relevan sehingga penyokong mereka beralih kepada PH atau lebih tepat lagi kepada DAP.

“(Kewujudan Gerakan) diabaikan kerana PAS terlalu dominan.”

Walaupun Gerakan dilihat kurang berpengaruh dalam PN, tetapi Bersatu dan PAS nampaknya mahu menunjukkan kepentingan parti itu dalam PRN dengan meletakkan calon Gerakan di kerusi majoriti Melayu Bayan Lepas.

“Saya berpendapat PN cuba menunjukkan Gerakan parti sama taraf dengan Bersatu atau PAS.

“Saya rasa mereka berharap sekurang-kurangnya Lau akan menang, dan secara teorinya beliau harus menang, jika PAS bersungguh-sungguh menyokongnya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.