
Bercakap kepada FMT, Felo Majlis Profesor Jeniri Amir, juga yakin Presiden Umno Zahid Hamidi akan menerima keputusan untuk tidak mempunyai lebih ramai exco di Pulau Pinang, di mana BN hanya menang dua daripada enam kerusi ditandingi.
Adun Sungai Acheh daripada Umno Rashidi Zinol adalah satu-satunya wakil tunggal BN dalam kerajaan negeri Pulau Pinang selepas dinamakan untuk mengetuai jawatankuasa perdagangan dan pembangunan keusahawanan dan luar bandar.
Adun Umno lain di Pulau Pinang, Reezal Merican Naina Merican, yang memenangi kerusi Bertam, pada mulanya dikhabarkan akan dilantik sebagai timbalan ketua menteri. Tetapi, walaupun berpengalaman sebagai menteri persekutuan, Reezal tidak termasuk dalam barisan exco Pulau Pinang yang diumumkan semalam.
“BN tidak sepatutnya menjangkakan diberi lebih banyak jawatan kerajaan negeri jika hanya memenangi beberapa kerusi. Sudah cukup baik untuk Umno diberi seorang exco (jawatan) di Pulau Pinang,” kata Jeniri.
“Agak keterlaluan untuk meminta jawatan timbalan ketua menteri kerana itu tidak realistik.”
Beliau berkata, peruntukan jawatan kerajaan negeri perlu berdasarkan jumlah kerusi dimenangi setiap parti dalam pilihan raya.
Barisan 11 exco Pulau Pinang terdiri lapan daripada DAP, dua daripada PKR dan seorang daripada Umno.
Pada PRN Sabtu lalu, PH-BN memenangi 29 kerusi daripada 40 kerusi DUN, dan Perikatan Nasional (PN) memenangi baki 11 kerusi. DAP memenangi semua 19 kerusi ditandinginya, PKR tujuh daripada 13 kerusi, dan Amanah mengekalkan satu daripada dua kerusi sebelumnya.
Di Selangor, Umno hanya memenangi dua daripada 12 kerusi ditandinginya, dengan PH memperoleh 32, manakala PN memperoleh baki 22 kerusi.
Bagaimanapun, Jeniri berkata jangkaan berbeza di Negeri Sembilan, di mana BN memenangi 14 daripada 17 kerusi ditandinginya manakala PH memenangi 17 daripada 19 kerusi ditandingi. PN memegang baki lima kerusi dalam DUN terdiri daripada 36 kerusi.
Sentimen ini disuarakan Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias, yang berharap parti itu akan diperuntukkan sekurang-kurangnya lima hingga enam jawatan exco.
Seorang lagi penganalisis, Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia, berkata dengan BN hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi ditandinginya dalam PRN, penyokongnya harus sedar ia tidak berada dalam kedudukan untuk tawar-menawar jawatan kerajaan negeri.
“Selepas prestasi hambar itu, penyokong Umno mesti sedar parti berada dalam kedudukan yang lemah untuk tawar-menawar,” katanya.