Exco termuda Selangor, Jamaliah janji tak kecewakan pengundi, pimpinan

Exco termuda Selangor, Jamaliah janji tak kecewakan pengundi, pimpinan

Wakil rakyat berusia 34 tahun itu berkata, pelantikannya membuktikan Selangor progresif dengan memberi peluang kepada anak muda berkhidmat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan watikah pelantikan exco Selangor kepada Adun Bandar Utama, Jamaliah Jamaludin semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Adun Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin yang juga exco Selangor termuda berkata pelantikannya membuktikan negeri itu progresif dengan memberi peluang kepada anak muda untuk berkhidmat.

Wakil rakyat berusia 34 tahun itu amat bersyukur kerana diberikan peluang dan berjanji akan melakukan yang terbaik dalam memikul jawatan penting itu.

“Umur saya 34 tahun dan agak muda. Dengan pemilihan ini, membuktikan kerajaan Selangor membuka peluang seluasnya kepada anak muda untuk berkhidmat kepada negeri dan negara.

“Saya akan cuba sedaya upaya untuk ‘catch up’ dalam masa beberapa minggu ini dan insya Allah saya tidak akan mengecewakan pimpinan yang melantik saya dan pengundi yang memilih saya.

“Saya akan buat yang terbaik untuk rakyat dan negeri Selangor,” katanya menurut Harian Metro selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Lantikan Exco Selangor di Istana Alam Shah semalam.

Adun Bandar Utama buat penggal kedua itu adalah satu-satunya calon berbangsa Melayu yang diketengahkan DAP pada PRN Selangor. Beliau mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 35,446 undi.

Istiadat angkat sumpah 10 exco diadakan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sebelum itu, turut diadakan istiadat pelantikan Adun Sungai Tua, Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor buat penggal kedua.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.